Palestin panggil pulang duta di Amerika Syarikat

Astro Awani
Disember 31, 2017 04:12 MYT
Protes dan pertempuran di semenanjung Gaza antara warga Palestin dengan tentera rejim Zionis yang tercetus pasca pengumuman Trump sehingga kini tiada tanda akan reda. - Gambar fail REUTERS/Mohamad Torokman
PALESTIN mengumumkan memanggil pulang dutanya ke Amerika Syarikat, Husam Zomlot untuk sesi rundingan, hampir sebulan selepas Presiden Donald Trump iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki memaklumkan rundingan akan meneliti semula hubungan dengan Amerika Syarikat dan bertujuan menentukan tindakan Palestin seterusnya berhubung perkembangan berkenaan.
Husam dijangka kembali semula meneruskan tugasnya selepas selesai proses rundingan dengan pentadbiran kanan Palestin.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmood Abbas mengulangi pendirian untuk tidak akan menerima 'status quo' Baitulmaqdis.
"Kita akan kekal di sini (Baitulmaqdis), kita tidak akan mengulangi kesilapan bodoh di masa lampau. Kita akan berada di sini sehingga Palestin berjaya merdeka sepenuhnya dengan Baitulmaqdis menjadi ibu negara kita," kata Mahmoud ketika berucap merasmikan sambutan ulangtahun ke-53 pergerakan Fatah.
Protes dan pertempuran di semenanjung Gaza antara warga Palestin dengan tentera rejim Zionis yang tercetus pasca pengumuman Trump sehingga kini tiada tanda akan reda.
Keganasan berkaitan selepas pengumuman Trump pada 6 Disember lalu menyebabkan 13 korban nyawa sehingga kini.
Status Baitulmaqdis merupakan isu utama membelenggu konflik Palestin-Israel.
Israel menawan timur Baitulmaqdis yang sebelum ini dikuasai Jordan dalam perang 1967, dan sejak itu menganggap ia sebagai ibu negaranya.
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Donald Trump #Gaza #Israel #Jordan #keganasan #menteri #Merdeka #Palestin #presiden #protes #tentera #Zionis
;