Palestin mohon sesi tergempar Majlis Liga Arab

Bernama
Mac 19, 2025 11:00 MYT
Al-Aklouk berkata, Majlis Liga Arab dijangka membincangkan tindakan Arab dan antarabangsa bagi mendesak Israel menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin serta mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.
KAHERAH: Palestin pada Selasa mengemukakan permohonan untuk mengadakan sesi tergempar Majlis Liga Arab di peringkat wakil tetap, susulan tindakan Israel secara unilateral menamatkan perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Wakil Tetap Palestin ke Liga Negara Arab, Duta Muhannad Al-Aklouk berkata, tindakan Israel meragut nyawa ratusan rakyat Palestin, termasuk lebih 100 kanak-kanak, dalam siri serangan udara berdarah yang menyasarkan lima kawasan perbandaran Gaza sekitar 3 pagi waktu tempatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, angka kematian kini melebihi 404 orang, sementara lebih 564 yang lain cedera.
Pasukan kecemasan sedang berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Al-Aklouk berkata, Majlis Liga Arab dijangka membincangkan tindakan Arab dan antarabangsa bagi mendesak Israel menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin serta mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA
#Palestin #majlis liga arab #gencatan senjata #israel serang gaza
;