Palestin minta EU bina keamanan di Asia Barat
Bernama
Februari 23, 2018 12:54 MYT
Februari 23, 2018 12:54 MYT
Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah, pada Khamis meminta Kesatuan Eropah (EU) membina keamanan di Asia Barat berdasarkan inisiatif yang dibentang oleh Presiden Mahmoud Abbas baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.
"Ucapan Presiden Abbas di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) adalah satu jemputan kepada dunia untuk menyumbang kepada keamanan dan penyelesaian dua negara di sempadan 1967.
''Abbas memberi peluang kepada masyarakat antarabangsa untuk mencari satu penyelesaian politik yang adil dan seimbang, yang mengakhiri pendudukan (Israel) serta melindungi hak-hak negara kita yang sah," katanya ketika bertemu duta dan wakil EU di kota Tebing Barat.
Perdana Menteri itu turut menekankan tentang peranan EU dalam mewujudkan keamanan yang adil dengan legitimasi antarabangsa melalui cara yang menjamin hak-hak perundangan Palestin.
Abbas telah membentangkan inisiatif keamanan Palestin bagi menangani masalah asas yang membawa kepada kegagalan usaha damai sejak berdekad dalam sesi khas UNSC pada Selasa.
Pemimpin Palestin itu mencadangkan penganjuran satu persidangan keamanan antarabangsa berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada pertengahan 2018, yang perlu dihadiri wakil Palestin dan Israel.
Tawaran Abbas dibuat berikutan ketegangan yang semakin meningkat antara Palestin dan Amerika Syarikat sejak Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis, yang menjadi pertikaian, sebagai ibu negara Israel pada 6 Dis 2017.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#Baitulmaqdis
#Donald Trump
#EU
#Israel
#Kesatuan Eropah
#Mahmoud Abbas
#Palestin
#Rami Hamdallah
#Timur Tengah