Palestin kini negara pemerhati bukan anggota PBB

AFP
November 30, 2012 08:05 MYT
Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu, PBB sebentar tadi mengundi menerima Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota badan dunia itu.
Dalam perhimpunan khas di New York itu Palestin mendapat 138 undi menyokong.
Manakala 41 berkecuali, sementara 9 yang lain termasuk Amerika Syarikat dan Israel menentang.
Washington dan Tel Aviv sebelum ini mengugut sekiranya usul yang dibawa oleh Presiden Mahmoud Abbas diterima, ia akan menyekat dana kepada kerajaan Palestin di Tebing Barat.
Berita baik itu bagaimanapun tetap disambutkan dengan sorakan gembira penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza dengan tembakan ke udara dan percikan bunga api kedengaran sejurus diumumkan.
Antara yang berdebar menunggu detik bersejarah itu adalah penduduk di Ramallah.
Laungan “Allahuakbar” atau “Allah Maha besar” kedengaran keluar dari mulut mereka.
"Saya gembira mereka mengiktiraf kami meskipun ini hanya kemenangan moral. Ramai yang pastinya tidak senang, namun saya rasa amat gembira.” kata Rashid al-Kor.
Turut sama seorang lagi penduduk Palestin warga Amerika Syarikat, Laila Jaman yang berarak membawa bendera Palestin dan poster Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Laila diiringi seorang guru, Ethar al-Asmar yang mempunyai pendapatnya sendiri.
“Israel masih tidak beralah, namun saya tetap gembira dengan keputusan ini. Tidak menyangka hari ini tiba jua.” katanya.
Dengan sokongan berkenaan, ini bermakna status pemerhati yang diwakili pihak berkuasa Palestin dinaikkan kepada negara bukan anggota.
Status yang sama juga diberikan kepada Vatican.
Ketika berucap di PBB sebelum ini, Presiden Mahmoud Abbas menjelaskan, permohonan itu dilakukan sebagai langkah awal dalam merealisasikan impian Palestin menjadi sebuah negara merdeka.
#Amerika Syarikat #Israel #New York #P.B.B. #Palestin #Ramallah
;