Palestin kecam rancangan Israel bina 7,000 petempatan di Tebing Barat

Bernama
Februari 3, 2024 13:12 MYT
Pelaksanaan pelan itu dianggap peningkatan berbahaya dan provokatif di tengah konflik serta terang-terangan mencabar pendirian antarabangsa. -Gambar hiasan/Twitter Bernama
RAMALLAH: Kementerian Luar Palestin pada Jumaat mengecam kenyataan Menteri Israel Bezalel Smotrich untuk membina 7,000 unit petempatan di Tebing Barat.
Kementerian itu berkata pelaksanaan pelan itu dianggap peningkatan berbahaya dan provokatif di tengah-tengah konflik serta terang-terangan mencabar pendirian antarabangsa dan Amerika Syarikat (AS)yang menolak petempatan dan serangan pendatang Yahudi terhadap warga Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Rancangan itu juga dilihat sebagai tindak balas kepada keputusan pentadbiran AS untuk mengenakan sekatan ke atas beberapa pendatang ekstremis Yahudi.
Kementerian menggesa masyarakat antarabangsa dan pentadbiran AS memaksa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu supaya menghentikan sebarang pembinaan.
"Kegagalan untuk melaksanakan resolusi antarabangsa yang berkaitan menggalakkan Israel meningkatkan aktiviti petempatan dan mensabotaj usaha antarabangsa untuk menamatkan pencerobohan dan mencapai keamanan," menurut kementerian itu.
Pergerakan Peace Now Israel menganggarkan lebih 700,000 pendatang tinggal di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur.
Di bawah undang-undang antarabangsa, semua petempatan Yahudi di wilayah yang diduduki dianggap haram.
-- BERNAMA
#Israel #Palestin #Tebing Barat #petempatan haram
;