Palestin, Israel berhak memiliki tanah air sendiri - Putera Mahkota Arab Saudi
Reuters
April 3, 2018 10:09 MYT
April 3, 2018 10:09 MYT
Putera Mahkota Arab Saudi berkata Israel berhak untuk hidup dengan aman di tanah air mereka.
Dalam satu temubual yang disiar dalam majalah The Atlantic pada Isnin, Mohammed bin Salman berkata beliau percaya semua orang di mana sahaja berhak tinggal dalam negara mereka dengan aman.
"Saya percaya Palestin dan Israel berhak memiliki tanah air sendiri.
"Namun kita perlu ada perjanjian damai untuk memastikan kestabilan untuk semua orang dan untuk mempunyai hubungan yang normal," katanya sekaligus memberi gambaran hubungan Riyadh dan Tel Aviv semakin baik.
Tambah Mohammed apa yang membimbangkan kerajaan Arab Saudi adalah apa yang berlaku kepada Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan hak rakyat Palestin.
"Kami bimbang tentang apa yang akan berlaku kepada Masjid a-Aqsa di Baitulmaqdis dan hak rakyat Palestin.
"Selain daripada itu kami tiada halangan terhadap sesiapa pun," katanya dalam temubual itu lagi.
Arab Saudi membuka ruang udaranya buat kali pertama bagi membolehkan pesawat komersil memasuki Israel tahun lepas.
Tindakan itu menerima pujian dari Israel yang menyifatkannya sebagai sesuatu bersejarah susulan rundingan yang dibuat selama dua tahun.