Palestin gerakkan tentangan global terhadap undang-undang Israel larang operasi UNRWA
Bernama
Oktober 29, 2024 22:20 MYT
Oktober 29, 2024 22:20 MYT
RAMALLAH: Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin mengarahkan kedutaan dan misinya untuk melibatkan diri dengan kementerian luar, pembuat keputusan, dan pendapat umum di negara tuan rumah mereka bagi membina gabungan antarabangsa yang luas untuk menekan Israel berhubung undang-undang terbarunya yang melarang operasi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Kementerian Luar dan Ekspatriat dalam satu kenyataan menekankan bahawa inisiatif diplomatik itu dilaksanakan secara kerjasama dengan negara Arab dan Islam yang bersaudara dan mesra.
Kementerian itu juga menyatakan penghargaan terhadap negara-negara yang telah menentang keputusan Knesset Israel terhadap UNRWA, menggesa semua negara untuk secara terbuka mengecam undang-undang berkenaan sebagai tindakan pencerobohan terhadap rakyat dan pelarian Palestin, serta serangan ke atas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi khususnya.
Ia menyeru tindakan segera untuk menjadikan tentangan global sebagai langkah konkrit bagi menuntut Israel bertanggungjawab, melindungi institusi PBB, dan memaksa Israel membatalkan serta menghentikan pelaksanaan undang-undang itu.
-- BERNAMA