'Palestin', 'Baitulmaqdis' dan 'Erdogan' untuk dijual!
Agensi
Disember 23, 2017 04:46 MYT
Disember 23, 2017 04:46 MYT
SEORANG pemilik zoo persendirian di Semenanjung Gaza mahu menjual tiga anak singa kerana tidak lagi mampu untuk menyediakan makanan kepada kesemua haiwan itu.
Anak singa yang diberi nama Palestin, Baitulmaqdis dan Erdogan, iaitu mengambil sempena nama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, diiklankan di Facebook pada harga AS$5,000 setiap seekor.
“Keadaan ekonomi teruk ketika ini dan sukar mendapatkan makanan dan minuman untuk kesemua haiwan itu. Saya terpaksa menjual tiga anak singa yang baru lahir bulan lepas.
“Saya khuatir tidak mampu memeliharanya kerana saya juga memerlukan wang untuk membayar kos pemeliharaan dua singa jantan dan tiga singa betina,” kata pemilik zoo berkenan, Mohammad Ahmad Jumaa.
Beliau yang memiliki zoo berkenaan sejak 23 tahun lalu, berkata, setiap bulan dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan AS$345 bagi memberi makan kepada kesemua haiwannya.
Tambah Jumaa, dia ada menerima pertanyaan mengenai iklannya di Facebook itu tetapi setakat ini, masih gagal menjual anak singa berkenaan.