Palang Merah buka hospital medan di Rafah

Bernama
Mei 15, 2024 12:00 MYT
Hospital medan yang dikendalikan oleh ICRC dengan penyelarasan persatuan Palang Merah tempatan dan antarabangsa akan dapat menyediakan rawatan perubatan untuk kira-kira 200 orang setiap hari. - Gambar/ Reuters
GAZA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Selasa mengumumkan pembukaan sebuah hospital medan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza dengan kapasiti 60 katil.
Dalam satu kenyataan, ICRC berkata hospital medan itu bertujuan untuk melengkapi dan menyokong kerja Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam memenuhi keperluan kesihatan yang besar di Gaza, lapor Xinhua.
Pasukan hospital itu terdiri daripada kira-kira 30 pekerja perubatan yang menyediakan penjagaan pembedahan kecemasan, penjagaan kesihatan ibu dan anak, penjagaan neonatal, perkhidmatan pediatrik, dan klinik pesakit luar.
Hospital medan yang dikendalikan oleh ICRC dengan penyelarasan persatuan Palang Merah tempatan dan antarabangsa akan dapat menyediakan rawatan perubatan untuk kira-kira 200 orang setiap hari.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 23 daripada 39 hospital di Gaza tidak lagi berfungsi.
-- BERNAMA
#Rafah #Palang Merah #Hospital Medan #kekejaman israel
;