Pakistan tuntut Jerman bertindak selepas 'serangan ekstremis' ke atas konsulat di Frankfurt

Bernama
Julai 21, 2024 20:59 MYT
Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan sekumpulan perusuh membawa bendera hitam, merah dan hijau Afghanistan, merosakkan konsulat dan membuang bendera Pakistan. - X @paykhar
NEW DELHI: Pakistan mengecam keras Jerman pada Ahad selepas konsulatnya di Frankfurt dirosakkan oleh kumpulan perusuh.
Mengutuk serangan pada Sabtu oleh "sekumpulan pelampau", Kementerian Luar Pakistan menyatakan bahawa pihak berkuasa Jerman gagal melindungi kesucian dan keselamatan misi konsularnya.
"Dalam kejadian semalam, keselamatan konsulat Pakistan di Frankfurt telah dicabuli, membahayakan nyawa kakitangan konsularnya.
"Kami menyampaikan bantahan keras kami kepada kerajaan Jerman," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pakistan juga menuntut tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam serangan berkenaan.
Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan sekumpulan perusuh membawa bendera hitam, merah dan hijau Afghanistan, merosakkan konsulat dan membuang bendera Pakistan.
"Kami mendesak kerajaan Jerman untuk mengambil langkah segera bagi memenuhi tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Vienna dan memastikan keselamatan misi diplomatik dan kakitangan Pakistan di Jerman," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Pakistan #konsulat diserang #perusuh #Frankfurt #Jerman
;