Pakistan terima pinjaman IMF AS$7 bilion untuk stabilkan ekonomi
Bernama
Julai 13, 2024 20:15 MYT
Julai 13, 2024 20:15 MYT
ISLAMABAD: Pakistan dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencapai persetujuan berhubung program pinjaman baharu bernilai AS$7 bilion bagi menstabilkan ekonomi negara Asia Selatan itu, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Perjanjian baharu selama 37 bulan itu tertakluk kepada kelulusan Lembaga Eksekutif IMF.
"Program ini bertujuan untuk memanfaatkan kestabilan makroekonomi yang telah dicapai sepanjang tahun lalu dengan meneruskan usaha untuk mengukuhkan kewangan awam, mengurangkan inflasi, membina semula penampan luaran, dan menghapuskan distorsi ekonomi untuk merangsang pertumbuhan yang dipimpin oleh sektor swasta," menurut IMF dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa Pakistan bersetuju dengan pembaharuan untuk meluaskan cukai dan menghapuskan pengecualian demi meningkatkan sumber untuk pembangunan kritikal dan perbelanjaan sosial.
Bagaimanapun, kerajaan Perdana Menteri Shehbaz Sharif berdepan kritikan selepas membentangkan bajet dan ditolak oleh pembangkang yang diketuai parti bekas perdana menteri Imran Khan.
Pakistan memulakan perbincangan dengan IMF untuk pinjaman baharu sejurus selepas menyelesaikan program AS$3 bilion yang membantu negara itu mengelak kegagalan hutang negara tahun lalu.
-- BERNAMA