Pakistan siasat punca nahas kereta api di wilayah Sindh

Bernama
Ogos 7, 2023 18:04 MYT
Dalam insiden itu, beberapa gerabak Hazara Express tergelincir di wilayah Sindh. - Reuters
ISLAMABAD: Pakistan pada Isnin memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas kereta api yang meragut 13 nyawa dan mencederakan hampir 100 yang lain pada Ahad lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pegawai.
Dalam insiden itu, beberapa gerabak Hazara Express tergelincir di wilayah Sindh, kata Menteri Kereta Api Khawaja Saad Rafiq.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan adanya unsur sabotaj.
"Pegawai penyiasat kami akan mula memeriksa landasan dan gerabak yang rosak untuk menentukan puncanya," kata pegawai kereta api Ali Mohamed Afridi kepada media di lokasi nahas.
Beliau berkata penyiasat akan menemu bual pemandu dan penumpang sebelum memuktamadkan laporan yang dijangka mengambil masa kira-kira lima hari, tambahnya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Kumpulan Taliban Pakistan menafikan penglibatan mereka dalam nahas itu.
Nahas kereta api yang meragut nyawa sering berlaku di Pakistan, disebabkan keadaan landasan yang uzur, lokomotif berkualiti rendah dan kecuaian manusia.
Pemberontak di wilayah Balochistan dan Sindh juga sering menyasarkan kereta api dan landasan kereta api.
-- BERNAMA
#Pakistan #nahas kereta api #Hazara Express #13 maut
;