Pakistan, Maldives sifatkan serangan Israel ke atas kem di Gaza satu jenayah perang
Bernama
November 1, 2023 19:32 MYT
November 1, 2023 19:32 MYT
NEW DELHI: Pakistan dan Maldives mengecam serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia di Gaza dan menganggapnya sebagai satu jenayah perang.
"Serangan itu adalah yang terbaharu dalam siri jenayah perang yang dilakukan terhadap penduduk Gaza. Ia juga menekankan kepentingan gencatan senjata tanpa syarat untuk melindungi orang awam daripada lebih banyak pembunuhan.
"Kami menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya penyokong Israel untuk mengambil langkah segera menamatkan pergolakan, menarik balik kepungan di Gaza, melindungi orang awam dan memudahkan koridor kemanusiaan untuk penyediaan bekalan bantuan tanpa gangguan kepada penduduk Gaza," menurut Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan pada Rabu.
Serangan Israel ke atas kem pelarian itu pada Selasa membunuh lebih 400 penduduk Palestin, meningkatkan kemarahan masyarakat dunia terhadap pengeboman tanpa henti Israel ke atas penduduk Gaza dan membangkitkan dakwaan pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan.
Sementara itu, kerajaan Maldives menggesa langkah tegas terhadap Israel untuk menghentikan serangan-serangan di wilayah Palestin.
Kerajaan Maldives berkata, tindakan keganasan yang disengajakan oleh Israel terhadap penduduk awam Palestin yang tidak bersalah adalah pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan merupakan satu jenayah perang.
Israel dan Amerika Syarikat menolak gesaan untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan untuk 2.3 juta orang awam di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA