Pakistan, Maldives gesa UNSC segera laksana resolusi di Gaza
Bernama
Mac 26, 2024 11:54 MYT
Mac 26, 2024 11:54 MYT
NEW DELHI: Pakistan dan Maldives adalah antara negara yang menggesa pelaksanaan segera resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menamatkan serangan Israel hampir enam bulan ke atas Gaza dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang menghadapi kebuluran.
"Kami menyeru pelaksanaan segera resolusi Majlis Keselamatan yang diterima pakai hari ini (25 Mac), dengan harapan ia akan menjadi langkah pertama ke arah menamatkan serangan kejam Israel, memastikan gencatan senjata kekal dan membantu menangani situasi kemanusiaan yang serius di Gaza," menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan.
Majlis Keselamatan PBB pada Isnin menerima resolusi meminta gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza sempena Ramadan sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang dapat bertahan lama.
Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi yang dibentangkan oleh 10 ahli majlis berkenaan manakala Amerika Syarikat berkecuali, menurut laporan berita.
Sementara itu, Menteri Luar Maldives Moosa Zameer berkata negaranya menganggap penerimaan resolusi Majlis Keselamatan PBB itu sebagai langkah penting ke arah memastikan gencatan senjata yang berkekalan di Gaza.
"Resolusi itu perlu dilaksanakan sepenuhnya dan rakyat Palestin perlu menerima bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan," katanya.
Kebencian antarabangsa terhadap Israel telah meningkat berikutan kempen pembunuhan beramai-ramai yang tidak berkesudahan yang menyasarkan hospital, rumah dan infrastruktur awam lain serta mengebom orang yang berkumpul untuk mengutip bantuan makanan.
"Resolusi ini perlu dilaksanakan. Kegagalan tidak boleh dimaafkan," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Israel telah membunuh atau mencederakan lebih 100,000 rakyat Palestin dan menyebabkan dua juta orang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh 171 hari sejak 7 Oktober di wilayah Palestin yang dikepung.
-- BERNAMA