Pakistan lancar kempen anti-polio baharu susulan peningkatan kes

Bernama
Disember 16, 2024 14:10 MYT
Lebih 400,000 petugas kesihatan akan mengunjungi rumah ke rumah di 143 daerah untuk memberikan imunisasi kepada lebih 44 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun. - Foto AP
ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan melancarkan kempen anti-polio baharu secara besar-besaran pada Ahad selepas jumlah kes meningkat kepada 63 setakat ini pada 2024, menurut Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif merasmikan kempen imunisasi terakhir bagi 2024, yang akan berlangsung dari 16 hingga 22 Dis, menurut kenyataan pejabat itu, lapor Xinhua.
Lebih 400,000 petugas kesihatan akan mengunjungi rumah ke rumah di 143 daerah untuk memberikan imunisasi kepada lebih 44 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh Pakistan.
Perdana menteri menegaskan kepentingan kempen imunisasi itu sambil menyatakan komitmen teguh untuk membasmi polio di negara itu. Sharif menyeru ibu bapa di seluruh negara menyokong kempen itu dengan memastikan anak-anak mereka menerima titisan polio.
“Pemberian titisan polio kepada berjuta-juta kanak-kanak akan mengukuhkan masa depan mereka dan membantu mereka menjadi individu yang berpendidikan serta penyumbang berharga kepada pembangunan Pakistan,” kata perdana menteri.
-- BERNAMA
#Kerajaan Pakistan #kempen anti-polio #kes meningkat #Shehbaz Sharif
;