Pakistan kecam serangan Israel guna peranti komunikasi di Lubnan

Bernama
September 19, 2024 22:03 MYT
Rangkaian perisikan Israel didakwa telah menanam bahan letupan dalam ribuan alat kelui dan walkie-talkie yang diimport dari pengeluar Asia Timur. - Reuters
NEW DELHI: Pakistan mengutuk serangan keganasan Israel yang menggunakan alat kelui dan peranti komunikasi di Lubnan serta menyifatkannya sebagai tanda "pengembaraan keganasan Israel yang membimbangkan" di rantau itu.
Menggunakan kaedah siber dan elektronik untuk melakukan keganasan di negara lain adalah tidak boleh diterima, kata Jurucakap Kementerian Luar, Mumtaz Zahra Baloch dalam taklimat media di Islamabad pada Khamis.
"Serangan keganasan ini adalah manifestasi pengembaraan Israel yang membimbangkan di rantau itu," katanya sambil mendakwa rejim Zionis itu membahayakan keamanan dan keselamatan serantau.
Pegawai keselamatan Lubnan yang dipetik dalam media mengatakan rangkaian perisikan Israel telah menanam bahan letupan dalam ribuan alat kelui dan walkie-talkie yang diimport dari pengeluar Asia Timur dan meletupkannya dengan menghantar mesej berkod.
-- BERNAMA
#lubnan #serangan #Peranti komunikasi #Israel #keganasan
;