Pakistan ingin dalamkan kerjasama dengan Bangladesh

Bernama
Ogos 9, 2024 13:13 MYT
Pakistan pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada kerajaan sementara Bangladesh dan menyatakan hasrat untuk memperdalam hubungan dua hala.
NEW DELHI: Pakistan pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada kerajaan sementara Bangladesh dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dan memperdalamkan hubungan dua hala.
Muhammad Yunus, seorang ahli ekonomi berusia 84 tahun dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2006, telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Penasihat, jawatan yang setara dengan perdana menteri, dalam pentadbiran sementara yang mempunyai 17 anggota di Dhaka pada Khamis malam.
"Ucapan tahniah yang setulus-tulusnya kepada Profesor Muhammad Yunus atas pelantikannya sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh. Semoga beliau berjaya membimbing Bangladesh ke arah masa depan yang harmoni dan makmur," kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengannya untuk mendalami kerjasama antara Pakistan dan Bangladesh pada masa hadapan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, turut mengucapkan tahniah kepada penasihat Md. Touhid Hossain, yang akan mengetuai Kementerian Luar Bangladesh.
Portfolio anggota kerajaan sementara diumumkan pada Jumaat.
Yunus akan mengendalikan 27 kementerian dan jabatan, termasuk Kementerian Pertahanan, bahagian angkatan tentera, serta Kementerian Pendidikan, pengangkutan, penerbangan, makanan, perumahan, tenaga dan perdagangan, menurut laporan agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.
Kementerian Dalam Negeri akan diketuai oleh Brig Jeneral (B) M. Sakhawat Hossain.
-- BERNAMA
#Pakistan #Bangladesh #Hubungan dua hala #kerjasama