Pakatan parti berhaluan kiri dijangka menangi pilihan raya Perancis

Bernama
Julai 8, 2024 23:56 MYT
Tiada parti yang akan mendapat majoriti mutlak 289 kerusi dalam Dewan Rakyat Perancis yang mempunyai 577 ahli. - Gambar Reuters/Abdul Saboor
PARIS: Pakatan parti-parti berhaluan kiri - Barisan Popular Baharu (NFP) - memenangi pusingan kedua pilihan raya Perancis dan dijangka memperoleh antara 175 dan 205 kerusi di Dewan Rakyat, menurut unjuran yang diterbitkan oleh firma penyelidikan Elabe, lapor Xinhua.
Gabungan parti Presiden Perancis Emmanuel Macron berada di tempat kedua dengan kemungkinan memperoleh 150 hingga 175 kerusi, manakala parti sayap kanan dan sekutunya hanya akan memperoleh 115 hingga 150 kerusi, menurut unjuran Elabe.
Tiada parti yang akan mendapat majoriti mutlak 289 kerusi dalam Dewan Rakyat Perancis yang mempunyai 577 ahli.
Bercakap selepas penerbitan beberapa unjuran yang meramalkan kemenangan NFP, ketua sayap kiri Perancis Jean-Luc Melenchon, "menghargai" usaha dan tindakan rakyat Perancis yang telah mengundi NFP.
"Rakyat kita jelas mengelak daripada penyelesaian terburuk bagi mereka," katanya, merujuk kepada parti sayap kanan, Perhimpunan Nasional (RN).
"Kami mencapai keputusan yang dikatakan mustahil," kata Melenchon, ketua parti haluan kiri La France Insoumise.
Menurutnya, keputusan pilihan raya itu adalah "satu kelegaan besar" bagi kebanyakan rakyat Perancis. "Kehendak rakyat mesti dihormati sepenuhnya...kekalahan Presiden Republik dan gabungannya jelas disahkan," katanya kepada penyokong.
Perdana Menteri mesti meletakkan jawatan. Presiden mesti memanggil Barisan Popular Baharu untuk mentadbir," katanya.
Bekas Presiden Perancis, Francois Hollande, ahli Parti Sosialis Perancis (PS) dan calon Barisan Popular Baharu (NFP), juga terpilih sebagai timbalan selepas pusingan kedua.
"Saya menganggap bahawa ia adalah tugas saya, walaupun dengan kedudukan yang saya pegang, adalah melakukan segala-galanya untuk menghalang sayap kanan ekstrem daripada berkuasa, tetapi juga untuk membuka jalan harapan," katanya pada satu perhimpunan.
Bekas Presiden Perancis itu menyatakan bahawa Barisan Popular Baharu (NFP) mempunyai tanggungjawab untuk "melaksanakan peranannya" di Dewan Rakyat pada masa depan.
Berikutan kekalahan Perhimpunan Nasional, Presidennya Jordan Bardella mengucapkan terima kasih kepada penyokong.
"Malangnya, pakatan yang mengaibkan malam ini menghalang rakyat Perancis daripada mendapatkan dasar pemulihan. Malam ini, perjanjian pilihan raya melemparkan Perancis ke dalam pelukan kiri ekstrem Jean-Luc Melenchon," katanya.
"Perhimpunan Nasional lebih dari sebelumnya mewakili satu-satunya perselangan dan akan berdiri di sisi rakyat Perancis. Kami tidak mahukan kuasa untuk kepentingan kuasa, tetapi untuk mengembalikannya kepada rakyat Perancis," kata ketua parti sayap kanan berusia 28 tahun itu.
Walaupun Perhimpunan Nasional gagal menjadi parti terbesar dalam Dewan Rakyat, ia masih akan mempunyai lebih banyak kerusi berbanding dalam dewan sebelumnya.
Perdana Menteri Perancis Gabriel Attal mengumumkan pada Ahad malam untuk menyerahkan peletakan jawatannya kepada Macron pada Isnin, berikutan kekalahan gabungan kelompok tengah Macron dalam pilihan raya itu.
"Malam ini, kumpulan politik yang saya wakili dalam kempen ini, telah mencapai tiga kali ganda daripada kerusi yang diramalkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi tidak mempunyai majoriti," kata Attal dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Kesetiaan kepada tradisi republik dan mengikut prinsip saya, saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya esok pagi kepada Presiden Republik," katanya.
Mengatakan bahawa rakyat Perancis mungkin merasakan satu bentuk "ketidakpastian" tentang masa depan berikutan keputusan pilihan raya, Attal menekankan bahawa dia akan "jelas" menjalankan peranannya sebagai perdana menteri selagi ia diperlukan, memandangkan Perancis akan menganjurkan Sukan Olimpik dalam masa tiga minggu.
Walaupun Attal akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Macron pada hari Isnin, yang terakhir tidak perlu menerimanya serta-merta.
Keputusan sementara rasmi dijangka diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri Perancis pada lewat Ahad malam atau awal pagi Isnin.
-- BERNAMA
#Barisan Popular Baharu #Dewan Rakyat #sayap kiri #kepentingan kuasa
;