Pakatan Korea Selatan-AS perangi rejim Korea Utara sekiranya senjata nuklear digunakan - Presiden Yoon

Bernama
September 26, 2023 12:01 MYT
Yoon ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, 20 Sept 2023. - Gambar fail AP
SEOUL: Presiden Yoon Suk Yeol mengeluarkan amaran tegas terhadap Korea Utara pada Selasa, dengan menyatakan bahawa rejim itu akan menerima tentangan hebat dari pakatan Korea Selatan-Amerika Syarikat jika ia menggunakan senjata nuklear.
Yoon membuat kenyataan itu semasa ucapan sempena Hari Angkatan Tentera ke-75, yang disambut pada 1 Okt dan memperingati penubuhan angkatan tentera negara itu.
"Rejim Korea Utara mesti sedar sepenuhnya bahawa senjata nuklear tidak akan pernah dapat menjamin keselamatannya," katanya semasa majlis peringatan di Pangkalan Udara Seoul di Seongnam.
Yoon mendakwa rejim itu telah meningkatkan keupayaan nuklear dan peluru berpandunya yang bertentangan dengan amaran komuniti antarabangsa dan " terang-terangan mengancam" untuk menggunakan senjata nuklear.
"Ini merupakan ancaman terhadap kewujudan rakyat kami dan cabaran serius kepada keamanan dunia.
"Berdasarkan keupayaan tempur yang sedia ada dan postur kesiapsiagaan yang mantap, tentera kami akan segera bertindak balas terhadap sebarang provokasi dari Korea Utara.
"Sekiranya Korea Utara menggunakan senjata nuklear, rejimnya akan ditamatkan oleh tindak balas yang kuat daripada pakatan Korea Selatan-Amerika Syarikat," katanya.
Yoon juga menuduh Korea Utara melakukan pencabulan hak asasi manusia.
"Ketaksuban rejim Korea Utara terhadap pembangunan senjata nuklear memburukkan lagi penderitaan rakyat Korea Utara.
"Rejim ini terus mengeksploitasi dan menindas rakyatnya serta melanggar hak asasi manusia mereka."
Korea Selatan akan mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat dan Jepun berdasarkan pakatan "yang kukuh" dengan Washington, dan mewujudkan posisi keselamatan yang kukuh, kata Yoon.
Satu perbarisan tentera berskala besar dijadualkan berlangsung di Seoul pada Selasa ini sebagai sebahagian daripada sambutan itu, dengan penyertaan sekitar 4,000 tentera dan lebih 170 jenis peralatan ketenteraan, termasuk kereta kebal K2 dan peluru berpandu berkuasa tinggi yang baharu, menurut pejabat pertahanan.
Ia akan menjadi perarakan pertama seumpama itu sejak 2013.
-- BERNAMA
#Korea Utara #Korea Selatan #senjata nuklear #Amerika Syarikat
;