Pakar seru langkah berkesan tangani talasemia di India
Bernama
Mei 8, 2022 18:35 MYT
Mei 8, 2022 18:35 MYT
NEW DELHI: Ketika Dunia menyambut Hari Talasemia pada Ahad, pakar memberi amaran India terus menjadi tumpuan penghidap talasemia dunia dengan 100,000 hingga 150,000 orang mengalaminya di negara itu.
Setiap tahun diyakini lebih 10,000 kanak-kanak didiagnosis dengan penyakit ini yang disebabkan oleh pembentukan hemoglobin yang tidak normal dalam darah, di mana bagi 25 peratus kes, ibu bapa tanpa gejala mewariskan penyakit ini kepada anak-anak mereka.
Pakar mikrobiologi Priya Vaswani, 28, yang dikesan menghidap penyakit itu pada usia tiga tahun berkata COVID-19 telah memberi kesan buruk terhadap penghidap talasemia kerana kekurangan bekalan darah dan kesukaran mendapatkan penjagaan kesihatan, lapor agensi Anadolu.
Vaswani, telah mendedikasikan hidupnya membantu pesakit talasemia agar kanak-kanak dengan penyakit itu mendapat kemudahan dalam bidang pendidikan dan kerjaya, serta peluang pekerjaan bagi membantu mereka berkembang dan maju.
"Disebabkan pandemik, sebilangan besar masyarakat tidak dapat menderma darah. Komuniti talasemia di India menghadapi banyak masalah akibat wabak itu.
Tetapi kini, keadaan bertambah baik, ia telah membawa kelegaan kepada Komuniti Talasemia," katanya.
Beliau berkata adalah penting untuk menyedarkan orang ramai tentang talasemia, dan kepentingan menjalani saringan agar mempunyai masa depan yang sihat.
"Apabila saya berada di gred 12, saya mula menjadi sukarelawan Persatuan Talasemia di bandar Pune di kem derma darah, dan secara beransur-ansur memahami lebih banyak cara menghalang kelahiran talasemia serta perlu menyebarkan kesedaran," katanya.
Vaswani berkata beliau telah merayu agar ujian talasemia diwajibkan untuk semua ibu mengandung, lapornya.
"Saya telah cuba berhubung dengan pakar sakit puan. Mereka boleh melakukan banyak perkara dan membantu mencegah talasemia dengan mendapatkan ujian awal dan pelbagai ujian lain," tambahnya.
Beliau berkata meskipun sesetengah pesakit telah berjaya dalam bidang masing-masing, ramai yang tergolong dalam keluarga miskin dan memerlukan bantuan.
Kerajaan turut menyediakan bekalan darah dan ubat-ubatan percuma di setiap hospital-hospital daerah di setiap bandar, tetapi transfusi tanpa kerumitan perlu di kebanyakan bandar, kata Vaswani.
"Ini perlu diperkenalkan tidak lama lagi, juga akses mudah kepada ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa serta teknologi ujian DNA yang cepat dan efisyen untuk komuniti talasemia," katanya.
-- BERNAMA