Pakar Korea Selatan dihantar ke Jepun periksa sisa air radioaktif
Astro Awani
Mei 7, 2023 06:30 MYT
Mei 7, 2023 06:30 MYT
SEOUL: Korea Selatan akan menghantar pakarnya ke Jepun untuk memeriksa sisa air radioaktif di loji nuklear Fukushima.
Perkara itu dipersetujui Presiden Yoon Suk Yeol ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Seoul.
"Jepun akan bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dan berasaskan keputusan saintifik untuk melepaskan sisa air radioaktif.
"Saya memahami kebimbangan rakyat Korea Selatan, sehubungan itu kami memutuskan untuk membenarkan pakar dari negara itu untuk memeriksa loji nuklear Fukushima, supaya mereka mendapat pemahaman yang lebih baik.
"Sebagai Perdana Menteri, saya akan melakukan yang terdaya untuk memastikan kesihatan rakyat Jepun dan Korea Selatan tidak terancam," katanya.
Gempa bumi besar diikuti tsunami pada tahun 2011, memusnahkan sistem penyejuk di loji nuklear Fukushima.
Ia menyebabkan tiga reaktornya musnah dan menyebabkan ia melepaskan sisa air radioaktif.
Air digunakan untuk menyejukkan asas reaktor yang mempunyai radiasi tinggi, dirawat dan disimpan ke dalam tangki.
Jepun kemudian umum keputusan untuk melepaskan sisa air radioaktif dalam tangki berkenaan.
Bagaimanapun, cadangan itu ditentang negara jiran termasuk China dan Korea Selatan.