Pakar IAEA akan periksa loji kuasa nuklear Fukushima pada 24-27 Okt
Bernama
Oktober 6, 2023 22:48 MYT
Oktober 6, 2023 22:48 MYT
MOSCOW: Sekumpulan pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan melawat Jepun untuk memeriksa loji kuasa nuklear (NPP) Fukushima buat kali pertama sejak pelepasan air terawat bermula, umum Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun pada Jumaat, lapor Sputnik.
"Pegawai IAEA dan pakar antarabangsa akan melawat Jepun dari 24 hingga 27 Okt untuk misi mengkaji keselamatan pelepasan air terawat ALPS dari FDNPS TEPCO ke laut. Misi Pasukan Petugas ini adalah yang pertama sejak pembuangan sisa air bermula pada Ogos.
"Pasukan Petugas IAEA termasuk 11 pakar antarabangsa yang bertugas dalam kapasiti peribadi dari Argentina, Australia, Kanada, China, Perancis, Republik Korea, Kepulauan Marshall, Rusia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Vietnam," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pada Khamis, Jepun memulakan fasa kedua pelepasan air terawat NPP Fukushima ke lautan. Fasa kedua pelepasan sisa air akan berlangsung selama 17 hari, dengan jangkaan pembuangan kira-kira 7,800 tan air.
Pada Ogos, Jepun mula membuang sisa air terawat dari NPP Fukushima ke Lautan Pasifik selepas mencairkannya dengan air laut. Tokyo merancang untuk menyelesaikan semua fasa pelepasan air dari NPP Fukushima menjelang 31 Mac 2024.
--BERNAMA-SPUTNIK