Pakar ekonomi khuatir Indonesia mungkin terperangkap dengan hutang China

Astro Awani
September 23, 2023 12:57 MYT
Projek Kereta Cepat Jakarta-Bandung didakwa menghadapi kos penambahan sebanyak AS$1.6 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak AS$6.73 bilion, lebih tinggi berbanding tawaran Jepun. - Foto KCJB
JAKARTA: Seorang pakar ekonomi Indonesia menzahirkan kerisauan, negara dengan populasi sekitar 270 juta itu mungkin terperangkap dalam hutang yang diperolehi dari China.
Pengarah Pengajian Islam dan Pembangunan Indonesia (IDEAS) Yusuf Wibisono memberitahu Tempo pada Rabu, ‘perangkap’ itu susulan terbitan Peraturan Menteri Kewangan No 89 2023 mengenai jaminan Kerajaan Indonesia bagi mempercepat pembinaan infrastruktur dan fasiliti Kereta Cepat Jakarta-Bandung (KCJB).
Beliau mendakwa, melalui jaminan tersebut, Kerajaan Indonesia terpaksa patuh kepada kehendak China bagi memastikan projek kereta api berkelajuan tinggi itu siap sepenuhnya dan tidak terbengkalai.
Yusuf berkata, projek tersebut telah tersasar dari visi pembangunan asalnya, yang sepatutnya memberi manfaat kepada Indonesia melalui skim perniagaan-ke-perniagaan (B2B), tetapi kini menjadi sebaliknya.
“Projek itu diselia oleh konsortium PT Kereta Cepat Indonesia China (PT KCIC) dan mula dirancang pada 2015.
"Pada masa itu, jumlah kosnya dianggarkan sekitar AS$5.13 bilion, tanpa memerlukan jaminan dan pembiayaan kerajaan, tiada subsidi tarif dan tiada kewajiban kerajaan untuk pengambilan tanah.
“Usaha sama itu 60% dimiliki empat syarikat milik kerajaan dan 40 peratus lagi konsortium yang diterajui China Railway, yang juga diwajibkan untuk membayar sebarang kos tambahan.
"Tetapi realitinya, tiada satu pun daripada ini terjadi,” katanya menurut laporan Tempo.
Menurut Yusuf, bagi memastikan projek itu berterusan, Jakarta akhirnya terpaksa menyediakan dana kerajaan kepada operator mereka, PT KAI (Kereta Api Indonesia), sebagai peneraju konsortium, dan berkemungkinan besar juga terpaksa menyediakan peruntukan tambahan untuk menarik penumpang.
Projek kereta api laju itu didakwa menghadapi kos tambahan sebanyak AS$1.6 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan AS$6.73 bilion, lebih tinggi berbanding tawaran Jepun iaitu AS$6.2 bilion.
“Dengan 75 peratus kos dibiayai hutang China dengan tempoh masa 40 tahun, termasuk faedah yang tinggi mencecah 3.4 peratus, sudah pasti tambahan kos ini akan membebankan kerajaan dan rakyat Indonesia,” katanya lagi.
Atas sebab itu Yusuf berpandangan, Indonesia sememangnya telah terperangkap dalam permainan hutang China.
“Indonesia telah mengambil faedah hutang yang tinggi untuk projek yang merugikan ini. Sudah pasti ia akan membebankan kewangan negara untuk jangka masa panjang,” tambahnya.
#Indonesia #China #perangkap hutang #Kereta Cepat Jakarta-Bandung
;