Pakar ekonomi bimbang impak Jokowi tangguh umum kabinet

Astro Awani
Oktober 23, 2014 20:41 MYT
Pasaran ekonomi Indonesia kini menanti pembentukan kabinet dan gerak kerja pasukan pilihan Jokowi.
Sebilangan pakar ekonomi Indonesia mula menzahirkan rasa khuatir berikutan tindakan Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang menangguhkan pengumuman barisan kabinetnya.
Sementara Jokowi mengambil masa dalam pencarian calon yang benar-benar memiliki integriti bagi mengisi jawatan dalam 33 kementerian seperti yang dijangkakan, pakar ekonomi pula menyatakan tindakan tersebut mula menunjukkan kesan terhadap ekonomi republik itu.
Menurut pakar ekonomi Mandiri Institute, Destry Damayanti, nilai pertukaran rupiah yang sebelum ini menunjukkan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kini sudah memberi tanda sebaliknya, lapor portal berita Kompas.com.
FOTO GALERI: Joko Widodo angkat sumpah sebagai Presiden Indonesia ke-7
Prospek pasaran yang semakin tinggi kini dilihat sedikit terjejas berikutan pengumuman barisan kabinet dilewatkan. Pemerhati ekonomi berharap agar Jokowi dan Wakil Presiden, Jusuf Kalla segera memacu momentium dalam pemerintahan.
Bagi Destry, pasaran ekonomi amat berharap agar pemerintahan Jokowi-Jusuf Kalla dapat dibentuk dengan kukuh dan terus berfungsi.
Lebih-lebih lagi apabila Jokowi sendiri telah mempopularkan istilah ‘kerja, kerja, kerja’ sebagaimana ucapannya dalam upacara pelantikan beliau dua hari lalu.
"Sebenarnya, Jokowi memang 'menjanjikan banyak' bahawa kita akan terus bekerja, dari bidang maritim, pertanian, hingga ke masyarakat bawahan. Hal tersebut menandakan bahwa pemerintahan ini akan berbeza,” kata Destry.
Namun, sekarang ini tanggapan pasaran tidak selari dengan perkembangan semasa, khususnya soal penyusunan kabinet yang masih samar-samar.
“Itulah yang membuatkan pasaran ekonomi khuatir, apakah yang bakal berlaku nanti?” Kata Destry.
Sementara itu, pakar ekonomi Bank Negara Indonesia (BNI), Ryan Kiryanto turut meminta Jokowi segera mengumumkan nama-nama menteri kabinet. Menurutnya, jika terlalu lama ditangguh, keadaan dilihat semakin tidak baik.
Ryan memberitahu, rakyat Indonesia sudah menunggu pengumuman tersebut, lebih-lebih lagi apabila Jokowi sendiri mahu memilih calondari kalangan mereka yang betul-betul berkelayakan.
Dia menambah, jawatan menteri ekonomi khususnya perlu disandang oleh orang yang memiliki integriti dan keupayaan kemahiran insaniah serta kefahaman teknikal dalam bidang ekonomi.
"Integriti kejujuran masih sangat mahal dan kompetensi teknikal juga penting iaitu pendidikan,” jelasnya.
Ryan merumuskan, seseorang menteri yang dipilih itu juga harus memiliki pengalaman organisasi yang cukup baik di dalam negara mahupun ketika berdepan arena antarabangsa seperti di Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia.
Dalam pada itu, menurut Setiausaha Jeneral Parti Nasional Demokrat, Patrice Rio Capella, ada dua sebab Jokowi menunda pengumuman nama-nama menteri kabinetnya, iaitu Jokowi harus mencari pengganti calon menteri yang bermasalah berdasarkan penilaian Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) dan menunggu pertimbangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berhubung perubahan penamaan kabinet.
Pihak KPK pula memberitahu, penangguhan pengumuman kabinet oleh Jokowi tidak melanggar undang-undang kerana presiden diberi tempoh masa 14 hari selepas pelantikannya untuk berbuat demikian.
#ekonomi #Indonesia #Jokowi #pakar #pasaran
;