Pakar arkeologi dakwa berjaya rungkai misteri 'Mumia Menjerit'
Agensi
Februari 11, 2018 23:06 MYT
Februari 11, 2018 23:06 MYT
MISTERI yang menyelubungi 'Mumia Menjerit' akhirnya berjaya dirungkaikan.
Portal The Sun melaporkan, pakar mungkin telah menemui punca mengapa mumia berkenaan didapati mati dalam keadaan kejam.
Sewaktu ditemui pada akhir abad ke-18, ahli arkeologi terkejut melihat keadaan mumia itu yang herot-benyot dan seolah-olah sedang menjerit kesakitan.
"Dua kuasa berbeza cuba berbuat sesuatu ke atas mumia ini. Satu mahu menghapuskannya dan satu lagi cuba memeliharanya," kata Dr Bob Brier, seorang ahli arkeologi di Universiti Long Island, New York yang menghabiskan masa bertahun-tahun membuat penyelidikan ke atas mumia itu.
Dr Zahi Hawass, dari Majlis Antikuiti Tertinggi Mesir percaya bahawa mumia itu adalah seorang putera raja yang telah memalukan keluarga.
"Ia dikebumikan bersama dengan kerabat lain tetapi diselimutkan dengan kulit biri-biri. Ia menandakan semasa hidup, dia telah melakukan sesuatu yang buruk," katanya.
"Atas sebab-sebab tertentu, ada cubaan untuk memastikan bahawa dia (mumia) tidak dibangunkan di akhirat (afterlife), tapi dalam masa yang sama ada seseorang yang mengambil berat tentangnya," kata Dr Brier.
Penemuan Mumia Menjerit itu sebelum ini membingungkan pakar arkeologi, dengan beberapa teori digunakan, antaranya ia milik Putera Pentewere, anak lelaki Firaun Ramses III dengan salah seorang isterinya, Tiye.
Putera itu dikatakan pernah merancang untuk membunuh bapanya, namun tidak berjaya.
#Bob Brier
#Firaun Ramses III
#Mesir
#Mumia Menjerit
#pakar arkeologi
#Putera Pentewere
#saintis
#Universiti Long Island
#Zahi Hawass