'Pakaian dalam anda hilang? Kucing saya punya kerjalah tu!'

Agensi
Februari 6, 2018 19:55 MYT
Pemilik Mo pada mulanya 'pening' memikirkan dari mana datangnya pakaian dalam berkenaan.
KITA pernah mendengar kisah manusia yang mempunyai perangai pelik gemar mencuri pakaian dalam wanita.
Namun kejadian di Auckland, New Zealand ini sedikit berbeza dan agak mencuit hati kerana si pelaku adalah seekor kucing.
Kucing yang diberi nama Mo itu dipelihara seorang lelaki bernama Ed Williams, yang pada mulanya 'pening' memikirkan dari mana datangnya pakaian dalam berkenaan.
Williams memberitahu portal New Zealand Herald, pernah satu ketika dia dan teman wanitanya hampir 'perang besar' apabila beberapa helai pakaian dalam wanita ditemui di atas katil dalam bilik tidurnya.
"Teman wanita saya menyangkakan saya curang dan ada hubungan sulit dengan perempuan lain.
"Ketika itu saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Sehinggalah satu hari, saya ternampak Mo pulang ke rumah membawa sehelai baju T," cerita Williams.
Mo, kata Williams, bukan seekor kucing yang banyak kerenah dan sangat mendengar kata. Tetapi perangai Mo berubah apabila dilepaskan ke luar rumah pada waktu malam.
"Memang sudah menjadi kebiasaan saya akan melepaskannya bermain di sekitar kawasan kejiranan pada waktu malam, tetapi saya tidak sangka pula dia akan berbuat begitu," kata Williams sambil memberitahu, tabiat pelik Mo itu bermula sejak dua tahun lalu.
Setiap minggu, Mo akan membawa balik kira-kira 40 helai pakaian, majoritinya pakaian dalam milik jiran-jiran Williams.
Sehingga kini, biarpun hubungan Williams dan teman wanitanya masih baik dan jiran-jirannya juga sudah semakin memahami perangai pelik Mo, tetapi si comel itu masih meneruskan 'aktiviti' itu.
"Ia akan keluar rumah dan bawa pulang macam-macam jenis pakaian dalam.
"Jadi jika pakaian dalam anda hilang, datanglah ke rumah saya. Kemungkinan besar ia ada di sini, tapi jangan tuduh saya yang ambil pula!" kata Williams sambil ketawa.
#Auckland #Ed Williams #kucing #Mo #New Zealand
;