"Pak Habibie bapa teknologi Indonesia" - Jokowi
Nursyazwani Saiful Sham
September 11, 2019 20:07 MYT
September 11, 2019 20:07 MYT
Pemergian bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie diratapi oleh segenap rakyat di negara jiran itu.
Rakyat Indonesia kehilangan seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan yang cukup besar pada negara itu sepanjang hayatnya.
Bagi ketua negara itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi), Allahyarham Habibie disifatkan Jokowi, seorang tokoh terbilang negara.
“Pak Habibie cukup dikenali sebagai seorang ilmuan dan sebagai bapa teknologi Indonesia.
“Beliau juga sering memberikan jalan penyelesaian jika timbul apapa isu di negara ini,” kata Jokowi mengulas mengenai pemergian presiden ketiga negara itu ketika ditemui wartawan di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, Jakarta.
Jokowi bagaimanapun tiba di hospital berkenaan lima minit selepas Habibie menutup usia.
Menurut Jokowi, jenazah Habibie akan dibawa pulang ke kediamannya di Kuningan.
Seramai 44 doktor pakar merawat Habibie sejak Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 1 September lalu.
Allahyarham Habibie merupakan Presiden Indonesia ketiga menggantikan Presiden Suharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.