Paip air panas hotel pecah, 5 maut
Asyraf Roslan
Januari 21, 2020 10:18 MYT
Januari 21, 2020 10:18 MYT
Sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala enam lagi cedera apabila paip air panas pecah menyebabkan air melimpahi ruang yang didiami penghuni sebuah hotel.
Seorang kanak-kanak dilaporkan menjadi mangsa dalam kejadian yang berlaku pada Isnin di pergunungan Ural, Rusia.
Tiga mangsa yang cedera pula dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius.
Menurut laporan Reuters, hotel sembilan bilik itu terletak di bahagian bawah tanah sebuah bangunan kediaman.
Susulan kejadian, Ahli Parlimen Rusia, Oleg Melnichenko berkata parlimen mungkin akan mempertimbangkan pengharaman membina hotel mahupun asrama di bahagian bawah tanah bangunan kediaman.
"Asrama dan hotel tidak lagi boleh dibuka di ruang bawah tanah di mana terletaknya semua saluran paip," kata Melnichenko.
Polis Rusia telah membuka kertas siasatan dalam kes ini.