Pagar runtuh di konsert Snoop Dogg, Wiz Khalifa, 42 cedera

Agensi
Ogos 7, 2016 16:42 MYT
Snoop Dogg sedang mengadakan persembahan apabila pagar tumbang akibat gagal menampung berat penonton yang bersandar padanya. - Gambar fail
Sekurang-kurangnya 42 orang cedera pada Jumaat malam selepas satu susur pagar tumbang di konsert Snoop Dogg di New Jersey, menurut polis.
Bintang rap pemilik nama sebenar Calvin Cordozar Broadus, Jr, itu ketika itu sedang mengadakan persembahan dengan rakan artis hip-hop Wiz Khalifa apabila pagar itu tumbang selepas gagal menampung berat penonton yang bersandar padanya.
Rakaman yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan pengunjung konsert jatuh menimpa satu sama lain di kaki pentas.
Jurucakap polis tempatan Dan Keashen berkata, kebanyakan mereka mengalami kecederaan seperti patah tulang dan lebam.
Seorang yang mengalami kecederaan serius di bahagian badan telah dibawa ke pusat trauma dan dibenarkan keluar pada pagi Sabtu.
Seorang jurucakap bandar Camden, NJ memberitahu AFP, kawasan itu tidak pernah ada sejarah pelanggaran peraturan atau sebarang isu berkaitan penyelenggaraan bangunan.
Konsert itu berakhir tidak lama selepas kejadian itu.
#konsert #pagar tumbang #Snoop Dogg #Wiz Khalifa
;