Paderi terkemuka Australia ditikam ketika 'live streaming'

Sinar Harian
April 15, 2024 22:16 MYT
Pemimpin gereja itu dilihat rebah ke lantai dan kedengaran suara jeritan para pengikutnya yang kemudiannya menerpa ke arahnya untuk membantunya sebelum siaran langsung itu terputus. - Foto REUTERS
SYDNEY: Seorang paderi terkemuka di Australia ditikam di sebuah gereja pada Isnin, beberapa hari selepas negara itu dikejutkan dengan kejadian serangan ganas bersenjatakan pisau yang meragut enam nyawa pengunjung di sebuah pusat beli-belah.
Rakaman insiden yang turut disiarkan secara 'live streaming' pada jam 7 malam (waktu tempatan) itu menunjukkan Biskop Mar Mari Emmanuel sedang memimpin upacara keagamaan di mazbah Gereja Christ The Good Shepherd di Wakeley, barat daya Sydney ketika beliau dihampiri seorang lelaki yang menikam bahagian kepalanya beberapa kali secara tiba-tiba.
Pemimpin gereja itu dilihat rebah ke lantai dan kedengaran suara jeritan para pengikutnya yang kemudiannya menerpa ke arahnya untuk membantunya sebelum siaran langsung itu terputus.
Beberapa media melaporkan suspek menggunakan sebatang pen sebagai senjata untuk menyerang beliau yang pernah meraih sejumlah besar pengikut dalam talian ketika pandemik Covid-19 dan sudah berkunjung ke Genting Gaza.
Sementara itu, pihak berkuasa New South Wales (NSW) mengesahkan seorang lelaki telah ditahan manakala empat mangsa berusia dalam lingkungan antara 20-an dan 60-an cedera.
"Salah seorang mangsa berumur dalam lingkungan 50-an yang cedera akibat ditikam telah dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya," ujar jurucakapnya.
Sementara itu, Bishop Emmanuel dirawat di Hospital Liverpool, Sydney dan beliau disahkan berada dalam keadaan stabil.
Polis kini melancarkan siasatan terhadap motif serangan tersebut yang turut mencetuskan kemarahan orang ramai setelah kira-kira 5,000 pengikut beliau dilaporkan berhimpun di luar gereja sejurus kejadian menggemparkan itu.
- Agensi/Sinar Harian
#tikam #paderi #Australia #live streaming #Mar Mari Emmanuel
;