Padah lepas hajat dalam lif, budak lelaki China terperangkap dalam gelap
Agensi
Februari 27, 2018 12:41 MYT
Februari 27, 2018 12:41 MYT
Kegiatan vandalisme seperti menconteng, mengotori atau merosakkan harta benda awam merupakan jenayah yang biasa dilakukan oleh golongan remaja bertujuan untuk menghilangkan bosan atau melepaskan geram.
Namun begitu, lain ceritanya apabila seorang kanak-kanak lelaki dari Chongqing, China telah mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan dengan membuang air kecil pada butang lif ketika menaikinya berseorangan.
Menurut Oriental Daily, kanak-kanak itu kelihatan menaiki lif seorang diri pada 23 Februari lalu. Dia kemudiannya menuju ke arah butang lif, dan terus melunaskan hajatnya tepat mengenai kesemua sasaran.
Dia menutup kembali zip seluarnya lalu bersiap untuk keluar dari lif. Butang lif ditekan, lif itu terbuka sedikit tetapi tiba-tiba tertutup kembali.
Lantas, mengejutkan kanak-kanak itu, suasana di dalam lif menjadi gelap-gelita menyebabkan kanak-kanak itu panik lalu melompat-lompat dan menekan loceng kecemasan.
Kanak-kanak itu akhirnya berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat tanpa sebarang kecederaan berlaku.
Namun begitu, setelah melihat video yang dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV), mereka sedar insiden menakutkan itu berlaku berpunca daripada perbuatannya sendiri.
Ia bagaikan “karma”, di mana setiap perbuatan jahat akan dibalas jahat.