Pada usia 72 tahun, Hema Malini kekal jelita
Agensi
Oktober 17, 2020 12:01 MYT
Oktober 17, 2020 12:01 MYT
SEMALAM genap 72 tahun usia legenda perfileman Bollywood, Hema Malini.
Dalam ribuan pelakon yang pernah dilahirkan dalam gelanggang filem berkenaan, Hema Malini akan kekal sebagai antara seniwati terbilang.
Populariti yang diraihnya sekitar tahun 1970-an dan 1980 an terutamanya tidak mampu digugat kerana personalitinya yang sangat menawan.
Menjengah usia emasnya itu, portal Hindustan Times mengenang semula detik-detik terindah yang dirakamkan dalam kehidupan peribadi pelakon tersohor India itu terutamanya mengenai pernikahannya dengan seniman terbilang Dharmendra.
Lebih empat dekad melayari bahtera rumah tangga. Hema Malini masih terkenang-kenang saat dia jatuh cinta dengan suaminya secara tidak dirancang.
Sekalipun menyedari Dharmendra sudah berkeluarga, namun, Hema Malini berikrar tidak akan memisahkan lelaki itu daripada keluarganya.
Pada musim-musim awal percintaan sekitar tahun 1970, Hema Malini sedia maklum Dharmendra merupakanm suami kepada Prakash Kaur.
Lalu, apabila mereka ditakdirkan bertemu jodoh, Hema Malini memberi jaminan bahawa perkahwinan mereka itu tidak akan mengguris hati mana-mana pihak.
Hema Malini berikrar, dia tidak akan sama sekali memutuskan hubungan kekeluargaan yang sudah dibina suaminya itu sebelum kehadirannya.
“Dari saat pertama saya terlihat Dharam ji (panggilan buat suami), saya sudah dapat merasakan dia ditakdirkan buat saya. Saya mahu menghabiskan masa bersama dia. Saya juga akan memastikan perkahwinan kami tidak akan mengguriskan hati sesiapa.
“Isteri pertama dan anak-anaknya tidak pernah merasakan kehadiran saya mengganggu kehidupan mereka. Saya mengahwininya, tetapi tidak pernah memisahkannya daripaa keluarganya,” kata Hema Malini dalam wawancara bersama Deccan Chronicle pada 2019.
Dharmendra menikahi Prakash pada usia yang sangat muda dan mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Sunny Doel dan Bobby Doel kedua-duanya pelakon terkenal serta dua anak perempuan, Ajeeta dan Vijeta.
Sementara, Hema Malini dan Dharmendra pula bernikah pada 2 Mei 1980 dan dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Esha Deol and Ahana Deol.
Dalam laporan media lain pula menyebut, kisah cinta epic Hema Malini dan Dharmendra bukanlah juga seindah yang mungkin dibayangkan peminat-peminat mereka.
Ibu bapa Hema Malini pada awalnya menentang hasrat anak perempuan mereka mahu menikahi aktor yang sudah berkeluarga itu.
Bapa seniwati itu amat marah dan pernah mengherdiknya kerana menyimpan hasrat sedemikian.
Namun, tidak lama selepas itu, ibu bapa Hema Malini memberi keizinan kepadanya untuk berkahwin dengan kekasihnya itu, namun, dalam masa sama masalah lain pula tercetus apabila isteri Dharmendra pula enggan diceraikany.
Kerana tiada pilihan, Dharmendra memilih untuk memeluk agama Islam bagi membolehkannya berpoligami.
Perkahwinan pasangan itu berlangsung sangat tertutup seperti mana yang sering dibayangkan Hema Malini.
Aktres itu juga pernah ditanya mengenai hubungannya dengan madunya, Prakash dan ini reaksinya.
“Saya tidak mahu menggangu sesiapa. Saya bahagia denga napa yang dilakukan oleh Dharam ji kepada saya dan anak-anak. Dia memainkan peranan sebagai seorang bapa seperti mana lelaki lain.
“Saya fikir, saya amat gembira dengan apa yang ada. Sekalipun, saya tidak pernah bercakap mengenai Prakash, saya amat menghormatinya. Bahkan anak-anak saya menghormati keluarga Dharam ji.
“Seluruh dunia mahu mengetahui menmgenai kehidupan peribadi saya dengan mendalam, tapi itu bukan untuk pengetahuan mereka. Bukan urusan orang lain,” tegas Hema Malini.
Hema dan Dharmendra merupakan pasangan pelakon legenda India yang sangat masyhur pada tahun 1970-an dan pernah sama-sama membintangi filem box-office seperti Sholay, Seeta Aur Geeta, Dillagi dan Dream Girl.
Diajak berkongsi rahsianya mengekalkan kejelitaan pada usia 72, Hema Malini dilaporkan berkata, dia tidak pernah sama sekali terfikir mengenai perihal kecantikan diri sendiri.
“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya seorang yang cantik. Hanya orang lain yang sering mengingatkan saya tentang hal itu menyebabkan ada masa saya tertanya-tanya benarkah saya cantik? Saya fikir, rahsia untuk kekal cantik ialah dengan tidak terlalu memikirkan mengenainya,” kongsi Hema Malini lagi.
Selain terkenal sebagai bintang filem, Hema Malini juga pernah bergiat aktif dalam gelanggang politik sehingga dilantik sebagai Ahli Parlimen Mathura di Uttar Pradesh.
Kali pertama seniwati itu memenangi kerusi berkenaan ialah pada 2014 dan kembali menjadi pilihan rakyat pada pilihan raya 2019.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!