Oxford pilih 'brain rot' sebagai perkataan tahun 2024
Bernama
Disember 2, 2024 14:50 MYT
Disember 2, 2024 14:50 MYT
MOSCOW: Oxford University Press memilih istilah slanga "brain rot" sebagai perkataan tahun ini melalui undian awam, lapor Sputnik.
Konsep "brain rot" merupakan istilah slanga yang diterangkan dalam Kamus Oxford sebagai kemerosotan mental atau intelektual seseorang, terutamanya akibat menghabiskan terlalu banyak masa mengakses dan menyerap kandungan yang kurang bernilai atau tidak berkualiti (terutamanya kandungan dalam talian) yang dianggap dangkal atau tidak memberikan manfaat intelektual yang signifikan.
Menurut halaman pertandingan, penggunaan pertama perkataan ini dicatatkan pada 1854 dalam buku Walden; or, Life in the Woods oleh Henry David Thoreau.
Sepanjang 2023 hingga 2024, kekerapan penggunaan ungkapan ini meningkat sebanyak 230 peratus, mencerminkan kebimbangan terhadap kesan daripada penggunaan kandungan dalam talian yang berlebihan, terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial.
Lebih 37,000 orang mengambil bahagian dalam undian itu.
Senarai pendek juga menyenaraikan perkataan "demure", "dynamic pricing", "lore", "romantasy", dan "slop" (bahan berkualiti rendah di Internet yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan).
Pada 2022, Oxford English Dictionary memilih istilah slanga "goblin mode" sebagai perkataan tahun itu, yang pertama kali dipilih melalui undian awam.
"Goblin mode", istilah slanga yang digunakan untuk menggambarkan jenis tingkah laku yang mementingkan diri sendiri, malas, selamba atau tamak, lazimnya berdasarkan cara yang menolak norma atau jangkaan sosial, menurut penerbit kamus Oxford Languages.
-- BERNAMA