Ottawa tangguh pengiklanan di Facebook, berbeza pendapat Akta Berita Dalam Talian

Bernama
Julai 6, 2023 11:40 MYT
Kerajaan Kanada memutuskan untuk menangguhkan semua pengiklanannya di Facebook dan Instagram ekoran perselisihan mengenai Akta Berita Dalam Talian. - Gambar hiasan
OTTAWA: Kerajaan persekutuan Kanada pada Rabu mengumumkan bahawa pihaknya memutuskan untuk menangguhkan semua pengiklanannya di Facebook dan Instagram ekoran perselisihan mengenai Akta Berita Dalam Talian.
Menteri Warisan Pablo Rodriguez berkata dalam sidang media bahawa kerajaan persekutuan tidak boleh terus membayar pengiklanan kepada Meta, sementara mereka enggan membayar jumlah yang sewajarnya kepada organisasi berita Kanada, lapor Xinhua.
Akta Berita Dalam Talian atau Rang Undang-Undang C-18, menerima perkenan diraja pada 22 Julai dan akan dikuat kuasa menjelang akhir 2023.
Perundangan menggariskan agar platform teknologi berunding dengan organisasi berita Kanada untuk memberi pampasan yang adil atas kerja mereka. Gergasi teknologi Meta dan Google memberi respon bahawa syarikat itu akan menyekat kandungan berita untuk pengguna Kanada sebagai tindak balas.
"Facebook memutuskan untuk menyekat berita.
"Inilah puncanya kami mengumumkan bahawa kerajaan Kanada akan menggantung pengiklanan di Facebook dan Instagram. Google, sebaliknya, terbuka untuk mencari penyelesaian," kata Rodriguez.
Google dan Meta memperoleh 80 peratus daripada hasil pengiklanan digital di Kanada, kata Rodriguez di media sosialnya.
Menurut Rodriguez, kerajaan persekutuan Kanada kini membelanjakan kira-kira 10 juta dolar Kanada (AS$7.5 juta) setahun untuk pengiklanan di platform Meta.
-- BERNAMA
#Facebook #pengiklanan #Akta Berita Dalam Talian #Meta
;