'Osama Laden' diburu
Sinar Harian
November 2, 2019 07:54 MYT
November 2, 2019 07:54 MYT
Anggota perhilitan di India semalam melancarkan operasi untuk menangkap seekor gajah liar yang menyebabkan lima penduduk kampung maut pada awal minggu lalu.
Gajah digelar Laden sempena nama pemimpin kumpulan militan al-Qaeda, Osama Laden oleh penduduk setempat itu dilaporkan mengamuk di sebuah perkampungan di Assam pada malam Selasa lalu.
"Sebelum ini, Laden pernah memusnahkan sawah padi, menyerang kampung kami hingga meragut nyawa penduduk," kata seorang penduduk di daerah Goalpara.
Menurutnya, haiwan itu dipercayai bertindak ganas secara sendirian.
Difahamkan, pihak berkuasa terpaksa menggunakan gajah jinak untuk memantau keadaan di perkampungan itu dari jarak selamat dan dron bagi memantau pergerakannya.
Menteri Perhutanan Assam, Parimal Shuklabaidya berkata, lapan jawatankuasa termasuk pakar hidupan liar akan memutuskan tindakan seterusnya demi menjaga keselamatan penduduk kampung.
"Ada yang mencadangkan untuk menembaknya dengan ubat pelali sebelum membawa gajah itu ke hutan yang jauh dari tempat tinggal orang ramai," katanya.
Gajah di India sering berpindah dari kawasan pergunungan Garo di Meghalaya ke Goalpara malah ada yang menuju ke Bangladesh.
Habitat haiwan itu yang semakin terancam di India telah memberi impak besar kepada hampir 2,300 gajah sejak lima tahun lalu manakala 700 gajah dibunuh sejak 2011.
#Anggota perhilitan
#bertindak ganas
#gajah liar
#kematian lima penduduk
#nama sama
#Osama Laden
#pemimpin kumpulan militan al-Qaeda