Orban menang pilihan raya Hungary
Bernama
April 4, 2022 11:50 MYT
April 4, 2022 11:50 MYT
BUDAPEST: Parti gabungan Fidesz-KDNP pimpinan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban memenangi pilihan raya Parlimen pada Ahad, menurut keputusan awal Pejabat Pilihan Raya Nasional.
Orban berkata ia adalah "kemenangan besar," lapor Xinhua.
"Politik konservatif telah menang, ini bukan masa lalu, ini adalah Eropah pasa masa depan," katanya ketika berucap di hadapan orang ramai di pusat beli-belah hiburan dan budaya di Budapest.
Fidesz-KDNP mendahului dengan 53.49 peratus daripada 91.06 peratus undi yang dikira.
Perikatan pembangkang yang terdiri enam parti di tempat kedua dengan 34.63 peratus, dan Mi Hazank (Gerakan Tanah Air Kita) ketiga dengan 6.28 peratus.
Fidesz-KDNP memenangi 135 kerusi daripada 199 kerusi Parlimen, memperoleh majoriti dua pertiga sama seperti pada 2018, 2014, dan 2010.
Sementara pakatan pembangkang memperoleh 56 kerusi dan Mi Hazank dengan tujuh kerusi. Satu kerusi dimenangi etnik minoroti Jerman.
Keputusan rasmi akan dikeluarkan lewat minggu ini, selepas undi warga Hungary yang tinggal dan bekerja di luar negara selesai dikira.
-- BERNAMA