Orban angkat sumpah PM Hungary untuk penggal kelima

Bernama
Mei 17, 2022 04:17 MYT
Viktor Orban (tengah) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Hungary di Parlimen Hungary, Budapest, 16 Mei 2022. (Foto AP)
BUDAPEST: Veteran politik Viktor Orban pada Isnin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Hungary buat kali kelima, lapor Xinhua.
Dalam ucapannya, Orban memberi amaran bahawa masa sukar menanti di hadapan, dengan menyatakan dekad itu bermula dengan pandemik COVID-19 dan diteruskan dengan konflik Rusia-Ukraine.
"Perang dan sekatan Eropah yang berterusan mewujudkan krisis tenaga serta menyebabkan kenaikan kadar faedah sehingga mencetuskan inflasi yang tinggi, yang akan mengakibatkan kemelesetan dan kemerosotan ekonomi," katanya.
Pemimpin Hungary itu menentang dasar sekatan Kesatuan Eropah (EU) dan merasakan belum ada sekatan berjaya mencapai matlamatnya.
BACA: Orban menang pilihan raya Hungary
Meskipun Ukraine menyokong musuh politiknya, kerajaan Hungary komited untuk membantu Ukraine katanya.
Beliau turut mengkritik EU yang turut dianggotai Hungary sejak 2004.
"Brussels sering menyalahgunakan kuasanya," kata Orban, merujuk kepada pertikaian dengan Suruhanjaya Eropah sejak sedekad lalu.
"Namun, penting bagi kami untuk kekal di EU untuk dekad akan datang," kata Orban.
Orban menjadi perdana menteri dari 1998 hingga 2002 dan dipilih semula pada 2010.
Parti Perikatan Orban memperoleh 54 peratus undi dalam pilihan raya parlimen pada 3 April lalu, membolehkan parti pimpinannya menguasai 135 daripada 199 kerusi Parlimen.
-- BERNAMA
#PM Hungary #Viktor Orban #angkat sumpah #Kesatuan Eropah
;