Orang ramai sanggup beratur untuk beli buku Putera Harry
Bernama
Januari 10, 2023 17:41 MYT
Januari 10, 2023 17:41 MYT
LONDON: Peminat sanggup beratur seawal tengah malam untuk mendapatkan autobiografi Duke of Sussex sebaik buku itu berada di pasaran.
Kedai-kedai di seluruh negara dibuka pada 12 tengah malam pada Selasa untuk pelancaran rasmi memoir kontroversi Putera Harry yang bertajuk 'Spare' dan dijual lebih awal oleh beberapa kedai buku di Sepanyol minggu lalu.
Beberapa orang dilihat sanggup beratur di luar WH Smith di stesen Victoria, London untuk menjadi antara yang pertama membeli buku itu yang didakwa banyak mendedahkan perihal kehidupan peribadi keluarga Putera Harry, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pengerusi Badan Amal Kecemerlangan Pendidikan dari Epping, Essex Profesor Chris Imafidon antara yang terawal dan sempat menyambar tiga buah buku berkata, beliau mahu mendapatkan kisah sebenar "daripada sumber asli".
Imafidon memberitahu Agensi Berita PA bahawa beliau telah berada di stesen Victoria sejak 9.30 malam.
Beliau ingin mengetahui mengapa Harry meninggalkan institusi diraja itu dan berharap buku itu merupakan hasil karya Putera Harry dan bukan orang ketiga.
"Saya benar-benar ingin tahu mengapa putera itu meninggalkan negara yang dicintainya...," katanya.
- BERNAMA