Orang ramai puji ketelusan PM Lee di Parlimen mengenai Oxley Road

Bernama
Julai 6, 2017 08:20 MYT
Persidangan Parlimen Singapura mencipta sejarah sendiri sejak dua hari lepas apabila Parlimen mendengar sepenuhnya tuduhan terhadap Perdana Menteri dan kerajaannya. - Gambar fail
"Anda dengan berani menangani situasi yang serius dan negatif dan menggunakannya untuk membuktikan kepimpinan dan ketelusan anda," kata seorang rakyat Singapura mengenai langkah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menjawab semua dakwaan terhadapnya dan kerajaannya di Parlimen .
Susan Tan mengulas posting Lee dalam laman Facebook mengenai beliau yang menggulung kenyataan mengenai isu 38, Oxley Road di Parlimen pada Selasa.
"Tuan Perdana Menteri, saya tabik anda sebagai pemimpin kami dan anak jati Lee Kuan Yew (LKY) dan Singapura," kata beliau.
Persidangan Parlimen Singapura mencipta sejarah sendiri sejak dua hari lepas apabila Parlimen mendengar sepenuhnya tuduhan terhadap Perdana Menteri dan kerajaannya.
Ia bertujuan untuk membolehkan Lee dan Kabinet memberi penjelasan kepada Parlimen dan menjernihkan keadaan.
Ini didorong oleh dakwaan salah guna kuasa yang dibuat ke atas Lee oleh kedua adik-beradiknya pada 14 Jun berhubung hasrat mendiang bapa mereka bagi rumah keluarga di Oxley Road.
Semua anggota Parlimen mempunyai peluang untuk mengemukakan soalan untuk diri mereka sendiri dan pengundi di kawasan yang diwakili.
Sementara itu, Nikki Yolmo berkata dengan adanya seorang Perdana Menteri seperti Encik Lee, negara tidak boleh meminta sesuatu yang lebih.
Ini kerana Lee "bersedia hadir di parlimen dan bercakap secara terbuka mengenai perkara-perkara penting bagi rakyat, menjernihkan keadaan, menyelesaikan ketegangan, tuduhan, menyelesaikan perbalahan melalui perbincangan, membuat perubahan jika perlu, dan yang penting mengaku tentang pentingnya berusaha ke arah perkara-perkara penting dan tidak membiarkan sesuatu isu itu menjadi bertambah buruk."
"Betapa beliau seorang pemimpin yang luar biasa!! ketelusan, jujur dan ikhlas. Anda dapat melihatnya melalui ucapan, gerak badan beliau dan segala-galanya. Pemimpin dunia boleh banyak belajar daripada beliau," kata Yolmo.
Seorang lagi warga Singapura, Zafar Afzal berkata "negara memahami sepenuhnya isu itu sekarang dan berdiri di belakang anda."
"YAB Perdana Menteri, negara-negara yang memandang ke hadapan dan bergerak ke hadapan adalah negara yang yang pemimpin mereka yang berani menyelesaikan sendiri apa-apa perkara. Kami tabik anda atas keberanian dan disiplin diri yang ditunjukkan dalam perkara ini," menurut catatannya.
Seperti diumumkan beliau pada 19 Jun, Lee pada Isnin membuat kenyataan menteri mengenai "Dakwaan Salahguna Kuasa mengenai 38 Oxley Road" di Parlimen dan terbuka bagi perbahasan oleh anggota Parlimen.
Dalam kenyataan penggulungan, Lee menjawab soalan yang dikemukakan kepada beliau secara panjang lebar.
Soalan itu antara lain ialah kewajaran melantik Lucien Wong sebagai Peguam Negara kerana Wong sebelumnya adalah peguamnya, sama ada beliau memperdayakan bapanya; dan akhir sekali sama ada beliau mempertimbangkan atau sedang mempertimbangkan pilihan undang-undang terhadap adik-beradiknya.
-- BERNAMA
#kabinet #Lee Hsien Loong #oxley Road #Parlimen #PM #rumah #Singapura #undang-undang
;