Orang gaji maut terhidu asap jiran bakar tilam

Gempak
Ogos 17, 2023 13:30 MYT
Suspek yang dilapor mempunyai sejarah bipolar mengaku telah menyebabkan kematian orang gaji jirannya, Koimatun Achmad Ali (foto) dengan melakukan perbuatan terburu-buru. -Gempak
SINGAPURA: Tindakan seorang lelaki warga emas di Singapura membakar tilamnya gara-gara terlihat pepijat mengundang tragedi apabila unit rumah flat yang didiaminya juga turut musnah ditelan api.
Lebih memburukkan keadaan, asap daripada kebakaran yang berpunca daripada pembakaran tilam Chia Gek Yong, 73, itu telah menyebabkan orang gaji di unit tingkat atas rumahnya terkorban akibat terhidu asap berlebihan.
Gek Yong, yang sebelum ini mempunyai sejarah bipolar mengakui bahawa dia telah menyebabkan kematian orang gaji jirannya, Koimatun Achmad Ali dengan melakukan perbuatan terburu-buru.
Ketika kejadian, wanita berusia 48 tahun itu tinggal sendirian di rumah sementara majikannya berada di luar negara.
Timbalan Pendakwa Raya R. Arvindren berkata, bahawa gejala masalah bipolar Gek Yong termasuk peningkatan tahap tenaga dan halusinasi.
Susulan sabitan kesalahannya pada Rabu, mahkamah meminta laporan untuk menilai kesesuaiannya untuk perintah rawatan mandatori.
Pesalah yang diberi perintah sedemikian perlu menjalani rawatan untuk menangani keadaan mereka sebagai ganti masa di penjara.
Terdahulu, pada 29 Jan 2022, Gek Yong berada di flatnya di tingkat 10 Blok 39 Telok Blangah Rise apabila dia terjaga sekitar pukul 4 pagi. Dia berada di atas katilnya di ruang tamu.
Memikirkan terlihat pepijat, dia menyembur katilnya dengan penyembur racun serangga.
Dia kemudian menggunakan pemetik api untuk membakar tilam tersebut selepas percaya pepijat katil itu masih hidup.
Apabila api merebak, dia cuba memadamkannya dengan menyimbah beberapa botol air, tetapi gagal.
Selepas itu, dia keluar dari flat berkenaan, meninggalkan empat lagi penghuninya yang sedang tidur.
Identiti mereka tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah. Mereka yang tersedar susulan asap tebal itu turut meninggalkan flat berkenaan.
Untuk rekod, Koimatun masih hidup semasa dia dihantar ke hospital, tetapi dia kemudiannya meninggal dunia pada malam yang sama.
Laporan bedah siasat Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan bahawa punca kematiannya adalah akibat terhidu asap. -Gempak
#lelaki warga emas di Singapura #bakar tilam #bipolar #Chia Gek Yong
;