Orang awam Taiwan sertai latihan sebagai persiapan berdepan serangan China
Astro Awani
April 19, 2023 17:35 MYT
April 19, 2023 17:35 MYT
TAIPEI: Khabar tentang kemungkinan Taiwan akan diserang China bukan suatu hal yang baru didengari. Sebagai respons, ia tidak disambut dengan ketakutan dan tidak pula dibiarkan berlalu tanpa persediaan.
Khabar berkenaan dikatakan sudah saban tahun dimomokkan. Begitupun, secara tidak langsung, ia membuatkan rakyat ‘pulau pentadbiran khas’ itu mengambil pendekatan tersendiri.
AFP melaporkan, seorang petugas perubatan Lin Yuh-ting memanfaatkan hari cutinya pada hujung minggu untuk mempelajari tip pertahanan awam supaya dia boleh mengajarkannya kepada dua anaknya, sekiranya China benar-benar bertindak menyerang dan menakluk Taiwan.
Tiada senjata yang terlibat dalam persiapan itu, hanyalah latihan penting tentang kaedah untuk bertindak balas terhadap taktik peperangan hibrid dari China.
Kelas yang disertai Yuh-ting merupakan sebahagian daripada persiapan rakyat Taiwan untuk berdepan senario terburuk, lebih-lebih lagi selepas menyaksikan episod peperangan Ukraine dari jauh, selain ‘amaran’ dua pusingan latihan ketenteraan China sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
"Apabila ada kemungkinan untuk perang, saya rasa kita harus bersiap sedia.
“Menjadi orang di barisan hadapan bukan satu-satunya cara untuk membantu,” ujar Yuh-ting, 45, yang menyertai kelas Kuma Academy di Taipei.
Menurutnya, anaknya yang berusia 8 dan 12 tahun juga wajib tahu tindakan yang perlu dibuat dalam situasi krisis.
Tenaga pengajar di Kuma menawarkan tip praktikal tentang persediaan evakuasi, termasuk mencari tempat perlindungan serangan udara terdekat, dan cara mengemas beg kecemasan untuk berpindah.
Mereka juga memberi tumpuan pada pengurusan maklumat yang betul berkaitan serangan Beijing, termasuk dakwaan tentang 1,000 peluru berpandu bakal menghujani pulau itu atau 50,000 kapal perang yang akan mengepung perairannya.
Pihak penganjur kelas persediaan di Taipei itu berkata, mereka kini membina barisan pertahanan minda terawal untuk berdepan naratif China.
Kelas seumpamanya yang dipercayai mendapat sokongan taikun Taiwan, lazimnya berlangsung selama sehari suntuk, dengan yuran sejumlah NT$1,000 (kira-kira RM140).
Antara yang diajar adalah tentang rawatan kecemasan awal seperti pengendalian perkakasan dan perubatan asas serta cara menangani situasi luka dan kecederaan.
Sejak Januari 2022, kelas Kuma sudah melatih sebanyak 10,000 peserta, dan kini setiap kali pengumuman sesi kelas baharu dibuat, ia bakal segera dipenuhi.