Operasi SAR nahas Lion Air 24 jam - BASARNAS
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 29, 2018 19:11 MYT
Oktober 29, 2018 19:11 MYT
Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat pasca nahas pesawat Lion Air, JT610.
Pengarah Operasi BASARNAS, Bambang Suryo Aji dalam satu sidang media berkata usaha pencarian termasuk menggunakan kaedah penyelaman akan diteruskan untuk 24 jam.
"Saya jangkakan, dengan adanya operasi pencarian atas permukaan bermula sejak pagi tadi hingga kini, telah menjumpai beberapa potongan badan sahaja, saya jangkakan, lebih ramai mangsa di dalam pesawat.
"Oleh sebab itu kami di pihak BASARNAS perlu segera mencari kedudukan bangkai pesawat tersebut untuk memulakan operasi menyelam. Kedalaman itu memungkinkan operasi menyelam diadakan," katanya dalam sidang media di Jakarta hari ini.
Dengan kedalaman laut di kawasan tersebut sekitar 30 hingga 35 meter, ia memungkinkan operasi penyelaman dilakukan.
Hingga kini, rangka utama pesawat masih belum ditemui.
Bagaimanapun, serpihan pesawat yang terapung termasuk kad pengenalan, telefon bimbit, serta barangan mangsa telah ditemui.
Turut membantu dalam operasi ini adalah Tentera Nasional Indonesia (TNI).