Operasi penerbangan Thai AirAsia X berpindah ke Lapangan Terbang Don Mueang mulai 1 Okt 2024

Bernama
Julai 17, 2024 15:54 MYT
Pengoperasian semula syarikat penerbangan Thai AirAsia X ke Lapangan Terbang Don Mueang disifatkan sebagai 'homecoming' (sirih pulang ke gagang). - Bernama
BANGKOK: Thai AirAsia X akan memindahkan semua operasi penerbangannya ke Lapangan Terbang Don Mueang dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi mulai 1 Oktober 2024 sebagai menyokong rancangan kerajaan untuk menjadikan Thailand sebagai hab penerbangan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia X, Tassapon Bijleveld berkata pengoperasian semula syarikat penerbangan itu ke Lapangan Terbang Don Mueang merupakan 'homecoming' (sirih pulang ke gagang).
"Kami akan menyertai rangkaian AirAsia yang kukuh dan luas yang mempunyai bahagian pasaran domestik lebih 40 peratus di Thailand dan rangkaian antarabangsa yang bertenaga merangkumi China, India dan Asia Selatan, ASEAN serta Jepun dengan sejumlah 93 laluan disediakan oleh 1,250 penerbangan seminggu bagi menyediakan banyak peluang untuk perkhidmatan FlyThru," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata pemindahan itu melibatkan kerjasama dengan Airports of Thailand Plc dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand Thai AirAsia X ketika ini beroperasi di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Tassapon berkata berkuat kuasa 1 Okt depan, penumpang Thai AirAsia X ke Seoul, Korea Selatan; Tokyo, Osaka, Nagoya dan Sapporo di Jepun; Shanghai, China dan Sydney, Australia akan berlepas dari Lapangan Terbang Don Mueang.
"Pemindahan ini adalah langkah strategik oleh Thai AirAsia X untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk sambungan ke rangkaian AirAsia yang lebih besar, bagi domestik dan antarabangsa pada masa sama menyediakan akses lebih mudah kepada pengunjung ke kawasan Bangkok," katanya.
Tassapon berkata syarikat penerbangan itu akan secara automatik menyesuaikan penerbangan mereka ke Lapangan Terbang Don Mueang untuk penumpang yang membuat tempahan pada Thai AirAsia X (kod penerbangan XJ) untuk perjalanan dari 1 Okt 2024 dan seterusnya.
Mulai 1 Ogos 2024, dan seterusnya, penumpang juga akan menerima pemberitahuan menerusi e-mel, SMS atau saluran perhubungan yang diberikan kepada syarikat penerbangan dengan tawaran dan nasihat sesuai mengenai pemindahannya ke Lapangan Terbang Don Mueang.
Thai AirAsia X kini mengendalikan lapan pesawat Airbus A330, ia akan meningkat kepada 11 pesawat menjelang akhir 2024, syarikat penerbangan itu menjangkakan menerima tiga hingga lima pesawat baharu setiap tahun untuk melaksanakan strategi pertumbuhan mampan.
-- BERNAMA
#Thai AirAsia X #lapangan terbang #Don Mueang #Thailand #penerbangan #operasi