Operasi mengeluarkan mangsa gua Tham Luang dimulakan
Agensi
Julai 8, 2018 12:13 MYT
Julai 8, 2018 12:13 MYT
Pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada penyelam memulakan operasi untuk mengeluarkan 13 mangsa yang terperangkap dalam gua dekat Tham Luang.
Operasi bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan dan dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum mangsa pertama berjaya dikeluarkan.
Ketua operasinya, Narongsak Osottanakorn berkata mangsa pertama dijangka dapat dikeluarkan sekitar jam 9 malam waktu tempatan.
"Operasi ini membabitkan seramai 13 penyelam antarabangsa, lima penyelam Thailand dan lima penyelam SEAL," katanya ketika detemui media hari ini.
Sementara itu, Timbalan Komander Wilayah Ketiga Thailand mensasarkan bahawa usaha mengeluarkan kesemua remaja dan jurulatih berkenaan dijangka mengambil masa antara dua hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Sebelum itu, Pihak berkuasa Thailand telah mengeluarkan arahan untuk mengosongkan kawasan gua lokasi 12 remaja dan jurulatih bola sepak mereka terperangkap, bagi memberi laluan kepada operasi menyelamat.
Pengumuman itu dibuat ketika pasukan penyelamat berperang dengan masa.
Ini kerana kawasan pergunungan sekitar kini diselubungi awan gelap, dan sekaligus meningkatkan risiko mereka yang terperangkap di dalam gua.
Remaja berkenaan, berusia antara 11 hingga 16 tahun, hilang bersama jurulatih mereka berusia 25 tahun selepas latihan bola sepak 23 Jun lalu.
#bola sepak
#gua Tham Luang
#hilang
#mangsa
#Narongsak Osottanakorn
#operasi
#remaja
#SEAL
#Thailand