Operasi lapangan terbang Beirut dihentikan susulan peningkatan ancaman Israel

Bernama
Julai 29, 2024 12:40 MYT
Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri di Beirut, Lubnan, 28 Julai 2024. - REUTERS
ISTANBUL: Semua pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut ditangguhkan atau dibatalkan susulan kemungkinan serangan Israel ke atas Lubnan.
Agensi Anadolu melaporkan penerbangan dari petang 28 Julai dan seterusnya telah digantung, memetik paparan maklumat pelepasan dan ketibaan di lapangan terbang itu pada Ahad.
Maklumat penerbangan di laman sesawang lapangan terbang memaparkan semua penerbangan dari Beirut ke pelbagai destinasi di seluruh dunia dan sebaliknya "dibatalkan" atau "ditangguhkan."
Pembatalan dan penangguhan dijangka berterusan sehingga pagi Isnin.
Middle East Airlines (MEA) sebelum ini mengumumkan bahawa beberapa penerbangan yang dijadual berlepas dari Beirut akan ditangguhkan sehingga pagi 29 Julai.
MEA adalah syarikat penerbangan kebangsaan Lubnan yang mengendalikan penerbangan ke pelbagai destinasi di Asia Barat, Eropah, Afrika dan seterusnya.
Terdahulu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis mengeluarkan nasihat perjalanan kepada warganegara mereka agar tidak melakukan perjalanan ke Lubnan, susulan kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan udara akibat ketegangan serantau yang semakin meningkat.
Ketegangan semakin meningkat selepas tentera Israel pada Ahad membentangkan senario kepada kerajaannya mengenai kemungkinan serangan ke atas kumpulan Hezbollah berikutan serangan roket yang membunuh 12 orang di Bukit Golan yang diduduki Israel, menurut laporan media antarabangsa.
-- BERNAMA
#Israel #Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri #beirut #serangan
;