OpenAI beri maklum balas terhadap tuntutan saman The New York Times

Fahmi Izuddin
Januari 11, 2024 12:40 MYT
Syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI), OpenAI memberi maklum balas berhubung tuntusan saman pelanggaran hak cipta oleh organisasi media terkemuka Amerika Syarikat (AS), The New York Times.
KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI), OpenAI memberi maklum balas berhubung tuntusan saman pelanggaran hak cipta oleh organisasi media terkemuka Amerika Syarikat (AS), The New York Times.
Dalam kenyataan balas berkenaan, OpenAI menegaskan, syarikat itu menyokong penuh keperluan industri kewartawanan menerusi ChatGPT yang boleh membantu wartawan dan editor melakukan tugas mereka dengan lebih efisien.
"Kami menyokong ekosistem berita yang sihat, menjadi rakan kongsi yang baik dan mencipta peluang yang saling menguntungkan," ujar kenyataan itu.
Malah OpenAI juga menyenaraikan beberapa syarikat media seperti Axel Springer yang mana ia telah menjalin hubungan perniagaan yang saling menguntungkan.
Selain itu, OpenAI masih percaya bahawa melatih model AI dengan data yang tersedia untuk kegunaan umum adalah satu bentuk penggunaan adil terhadap mana-mana negara dan organisasi yang bersetuju dengan terma dan syarat tersebut.
Syarikat itu juga berkata, seharusnya tidak timbul isu pelanggaran hak cipta kerana jika kandungan The New York Times turut diterbitkan di beberapa platform lain, maka secara automatik ia akan diterbitkan semula oleh ChatGPT, jika pengguna meletakkan kata kunci yang merujuk kepada penerbitan oleh The New York Times.
OpenAI juga menuntut pengguna untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam penggunaan kata kunci yang boleh merujuk kepada mana-mana media tertentu.
Sementara itu, OpenAI turut mendakwa, The New York Times tidak menceritakan isu berkenaan secara penuh sedangkan sewaktu perbincangan bersama perkara ini tidak dibangkitkan sehinggalah syarikat itu menerima surat tindakan undang-undang oleh The New York Times.
Pada Disember lalu, The New York Times menyaman OpenAI dan Microsoft dan mendakwa perisian AI berkenaan menggunakan jutaan artikel akhbar itu tanpa kebenaran untuk membantu melatih teknologi kecerdasan buatan AI (Chatbot) memberikan maklumat kepada pembaca.
The New York Times menambah, ia adalah organisasi media utama AS yang pertama menyaman OpenAI dan Microsoft, yang mencipta platform kecerdasan buatan popular seperti ChatGPT dan Bing Chat, kini dikenali sebagai Copilot, berhubung isu hak cipta yang dikaitkan dengan karyanya.
#OpenAI #ChatGPT #The New York Times #undang-undang
;