OPEC kekal potong bekalan, harga petrol dijangka terus naik

Rizal Zulkapli
Disember 1, 2017 11:10 MYT
Harga petrol RON95 dijangka akan mencatatkan peningkatan selari dengan peningkatan harga minyak global (foto: REUTERS/Lee Jae-Won)
Harga minyak mentah global mencatatkan peningkatan selepas negara pengeluar minyak utama dunia bersetuju untuk mengekalkan pemotongan pengeluaran sehingga akhir 2018.
Pemotongan ini yang bermula pada 2-16 adalah untuk mengurangkan lebihan 1.8 juta tong minyak dalam pasaran global setiap hari.
Bank Negara dalam Prestasi Ekonomi Suku Ketiga Tahun 2017 menjangka kadar inflasi akan terus meningkat ditengah jangkaan kenaikan harga minyak mentah global.
Di Malaysia, peningkatan harga minyak mentah global sejak suku kedua 2016 telah melonjakkan harga di pam daripada sekitar RM1.70 sen seliter untuk RON95 (harga minyak mentah global sekitar USD40/tong) kepada sekitar RM2.20 (USD60/tong) untuk dua minggu pertama November.
Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 3.8% untuk suku ketiga daripada 4.3% yang dicatatkan pada suku pertama.
Dalam masa yang sama, negara pengeluar dalam Organisasi Pengeksport Petroleum, OPEC dan bukan OPEC bersetuju untuk menyemak semula langkah ini jika harga meningkat terlalu tinggi tahun depan dan jika pengeluaran minyak shale Amerika Syarikat kembali rancak.
#Amerika Syarikat #bank #Bank Negara #ekonomi #harga minyak #Malaysia #minyak #OPEC #petrol #RON95
;