Ombak besar sebabkan hakisan pantai di Sydney
Agensi
Julai 17, 2020 21:12 MYT
Julai 17, 2020 21:12 MYT
Ombak besar yang membadai pantai Australia di utara Sydney menyebabkan hakisan pantai yang teruk serta memaksa beberapa penduduk tempatan untuk mengosongakan kediaman mereka yang terletak di tepi laut.
Beberapa rumah di pesisir pantai Wamberal mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang dan balkoni rumah.
Selain itu, terdapat retakan di bahagian belakang beberapa bangunan.
Pengarah Alam Sekitar dan Perancangan Majlis Persisiran Pantai Tengah, Steve Cox berkata banyak bangunan yang mengalami kerosakan.
“Kami melihat kerosakan pada beberapa bangunan.
“Saya bersama-sama jurutera Kerja Raya malam tadi (Khamis), dengan SES (Perkhidmatan Kecemasan Negeri New South Wales) memeriksa beberapa bangunan.
“Terdapat empat bangunan yang dikenal pasti sebagai kritikal. Kami telah bercakap dengan pemiliknya dan mereka sudi mengosongkan kediaman tersebut secara sukarela,” kata Cox.
Beberapa penduduk berkata majlis tempatan tidak memberikan bantuan atau mengambil langkah yang mencukupi bagi mengelakkan berlakunya penghakisan.
“Kami semua sangat cemas, takut dan sejujurnya, marah kerana kami berada dalam situasi ini.
“Kejadian ini sudah kami jangka kerana tembok tahan ombak tidak dibina,” kata seorang penduduk tempatan, Margaret Brice.
Ombak yang kuat telah melanda kawasan pantai tersebut sejak beberapa hari yang lalu.
#hakisan pantai
#hartanah
#ombak besar
#Perkhidmatan Kecemasan Negeri New South Wales
#pesisir pantai
#rumah
#Sydney
#Wamberal