Omar al-Bashir kini ditahan di hospital tentera
Bernama
April 26, 2023 23:22 MYT
April 26, 2023 23:22 MYT
KHARTOUM: Tentera mengesahkan pada Rabu bahawa bekas Presiden Sudan Omar al-Bashir yang digulingkan pada April 2019 kini ditahan di sebuah hospital tentera di ibu negara Khartoum, lapor Anadolu.Menurut kenyataan tentera al-Bashir telah dipindahkan ke Hospital Tentera Aliaa atas cadangan anggota perubatan di penjara Kober sebelum tercetusnya pertempuran antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Al-Bashir yang memerintah Sudan selama tiga dekad, disingkirkan daripada kuasa oleh tentera berikutan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Al-Bashir berkuasa pada 30 Jun 1989 selepas rampasan kuasa tentera terhadap kerajaan Perdana Menteri Al-Sadiq Al-Mahdi, dan memerintah negara itu di bawah apa yang dinamakannya sebagai "revolusi menyelamatkan negara".
Bekas presiden itu ditahan di penjara Kober di Khartoum pada Disember 2019 selepas didapati bersalah melakukan rasuah.
Sementara itu, ketua parti pemerintah era Bashir, Ahmed Haroun telah melarikan diri dari penjara di Khartoum.
Dalam mesej video yang diedarkan di media sosial, Haroun, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, berkata beliau melarikan diri dari penjara Kober di Khartoum atas sebab keselamatan, kekurangan air, makanan dan rawatan.
Sekurang-kurangnya 460 orang terbunuh dan lebih 4,000 lagi cedera dalam pertempuran antara tentera Sudan dan tentera RSF sejak 15 April, menurut Kementerian Kesihatan.
Perselisihan pendapat tercetus antara kedua-dua pihak sejak beberapa bulan kebelakangan mengenai pembaharuan keselamatan tentera. Pembaharuan itu membayangkan penyertaan penuh RSF dalam tentera, salah satu isu utama dalam rundingan oleh pihak antarabangsa dan serantau untuk peralihan kepada pemerintahan awam dan demokrasi di Sudan.
--BERNAMA, ANADOLU