Oman sambut Hari Kebangsaan ke-53
Bernama
November 18, 2023 11:29 MYT
November 18, 2023 11:29 MYT
KUALA LUMPUR: Oman menyambut Hari Kebangsaan yang ke-53 pada Sabtu (18 Nov) dengan komitmen untuk mencapai matlamat pembangunan dan memenuhi aspirasi rakyatnya untuk masa depan yang makmur.
"Di bawah kepimpinan Sultan Haitham bin Tarik, Oman telah mencapai kejayaan yang ketara dalam pembangunan sosial, pendidikan dan politik," menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada BERNAMA oleh Kedutaan Kesultanan Oman di Kuala Lumpur bersempena hari bertuah itu.
Pada separuh pertama tahun 2023, ekonomi Oman mengalami pertumbuhan sebanyak 2.1 peratus dan usaha telah dibuat untuk mengurangkan hutang awam dan meningkatkan pendapatan awam.
Sektor pelancongan memberikan sumbangan yang signifikan kepada KDNK dan Pelaburan Langsung Asing (PLA) meningkat sebanyak 23.3 peratus pada suku pertama tahun 2023.
Oman sedang giat mencari pelaburan dalam pelbagai bidang, termasuk tenaga boleh diperbaharui dan pengeluaran hidrogen bersih.
Pelancaran "Oman Future Fund" dengan modal RO2 bilion bertujuan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan menggalakkan perkongsian sektor swasta selaras dengan Wawasan Oman 2040, menurut kenyataan itu.
Negara itu juga mengutamakan ekonomi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan rancangan untuk melaksanakan dan menyetempatkan teknologi AI dan mengembangkan perundangan untuk menyokong sektor ini.
"Program Ekonomi Digital Kebangsaan memberi tumpuan kepada membina ekonomi digital yang makmur berdasarkan prinsip seperti meningkatkan nilai dalam negara dan menjana peluang yang mampan," tambah kenyataan itu.
Oman memanfaatkan lokasi geografinya dengan memperkenalkan zon ekonomi khas dan zon bebas, menghubungkan pasaran di GCC, Eropah, Asia dan Afrika. Bandar Ekonomi Khazaen, dengan dua zon bebas, menarik pelaburan yang besar.
Oman mencapai kemajuan dalam tanda aras global, menduduki tempat ke-56 di peringkat global dan ke-5 di dunia Arab dalam Laporan Prestasi Persaingan Perindustrian untuk 2023 oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO).
Kedudukan negara itu juga naik 10 tempat dalam Indeks Inovasi Global untuk tahun 2023, kini di tempat ke-69 daripada 132 negara di seluruh dunia.
Sebagai pengerusi semasa Mesyuarat Ke-43 Majlis Agung GCC, Oman sedang aktif bekerjasama dengan negara-negara GCC, Arab dan Islam untuk mencapai gencatan senjata di Gaza dan menangani krisis kemanusiaan.
Sementara itu, mengenai konflik Israel-Hamas di Gaza, Raja Oman menggesa kepungan ke atas Gaza ditarik balik manakala proses damai disambung semula yang mencerminkan komitmen Oman untuk menyokong hak dan aspirasi rakyat Palestin.
Pendirian Oman menggariskan dedikasinya untuk menggalakkan kestabilan dan keadilan di rantau itu.
-- BERNAMA